Garis jalan ‘hilang’ beri risiko kemalangan meningkat

Garis jalan ‘hilang’ beri risiko kemalangan meningkat

GARISAN putih Jalan Kuala Tembeling, Jerantut yang sudah tidak kelihatan. -GAMBAR KIRIMAN PENULIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALAN Kuala Tembeling di Jerantut, Pahang sepanjang 24 kilometer (km) merupakan laluan utama ke Jeti Taman Negara dan Kuala Lipis.

Laluan ini semakin sibuk, terutamanya pada musim cuti perayaan dan cuti umum. Selain itu, jalan ini juga menjadi laluan penting untuk pengangkutan bijih besi ke pelabuhan Kuantan.

Jalannya agak selesa walaupun struktur muka buminya bengkang-bengkok dan berbukit-bukit. Pun begitu, keadaan boleh menjadi bahaya apabila memandu pada waktu malam atau ketika cuaca berkabus.

Masalah utama yang kini dihadapi pemandu ialah garisan putih pemisah lorong jalan yang sudah hilang. Garisan ini memainkan peranan penting sebagai panduan visual untuk pemandu bagi memastikan kenderaan kekal dalam lorong masing-masing dan mengelakkan pertembungan.

Ketiadaan garisan jalan meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya ketika pemandu tidak dapat melihat dengan jelas sempadan lorong. Keadaan ini amat kritikal pada waktu malam, ketika jarak penglihatan terbatas dan di kawasan selekoh serta berbukit yang memerlukan kawalan penuh.

Pemandu yang tidak menyedari garis lorong yang hilang mungkin tersasar ke lorong bertentangan sekali gus mengundang pertembungan yang boleh membawa maut.

Tambahan pula, dengan peningkatan kenderaan berat yang melalui jalan ini, risiko kemalangan menjadi lebih tinggi.

Jalan ini bukan sahaja laluan pelancong tetapi juga laluan logistik penting, menjadikan keselamatan pengguna jalan raya satu keutamaan yang tidak boleh diabaikan.

Sehubungan itu, pihak berwajib diharap dapat mengambil tindakan segera termasuk mengecat semula garisan jalan, menambah papan tanda keselamatan dan meningkatkan pemantauan untuk memastikan pengguna jalan raya selamat.

Keselamatan pemandu dan penumpang tidak boleh dikompromi dan langkah proaktif amat diperlukan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini. –UTUSAN

 

PESARA KAMPUNG
Jerantut, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN