Dokumentari sebagai alat diplomasi budaya Malaysia

Dokumentari sebagai alat diplomasi budaya Malaysia

DOKUMENTARI memiliki kelebihan dalam membina kredibiliti dan pengaruh jangka panjang kerana berasaskan realiti sosial. -IMEJ JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era geopolitik yang kompleks, diplomasi tidak lagi terhad kepada saluran rasmi kerajaan. 

Kuasa hari ini turut digerakkan oleh naratif, pembawaan dan imaginasi kolektif. Negara yang berjaya dibentuk persepsinya melalui cerita yang berwibawa dan berintegriti memperoleh kelebihan strategik yang sukar ditandingi. 

Dalam konteks ini, dokumentari dianggap instrumen penting bagi diplomasi budaya Malaysia.

Jika diplomasi tradisional dijalankan melalui rundingan dan protokol, diplomasi budaya bergerak melalui empati dan kefahaman. 

Malaysia, sebagai negara majmuk dengan lebih 30 kumpulan etnik dan pelbagai agama, memerlukan pendekatan penceritaan yang matang untuk menjelaskan identitinya kepada dunia. 

Gagasan Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, hanya akan difahami apabila diterjemahkan dalam naratif yang dapat disentuh dan dirasai. Dokumentari menjadi jambatan antara idealisme dasar dan realiti kehidupan rakyat.

Potensi industri kreatif Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Laporan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia menunjukkan  filem dan kandungan kreatif menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi melalui penerbitan, penyiaran dan platform digital. 

Walaupun filem cereka lebih menonjol, namun dokumentari memiliki kelebihan dalam membina kredibiliti dan pengaruh jangka panjang kerana berasaskan realiti sosial.

Di peringkat global, dokumentari membentuk persepsi terhadap isu alam sekitar, hak asasi manusia dan konflik kemanusiaan. 

Kuasa dokumentari terletak pada gabungan fakta dan emosi, yang bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga menggerakkan kesedaran. 

Dokumentari Malaysia perlu difokuskan bukan sekadar pameran simbol identiti tetapi menjadi ruang dialog budaya inklusif.

Cabaran utama ialah kecenderungan meraikan kepelbagaian secara kosmetik. Representasi visual perayaan dan pakaian tradisional sering dipaparkan tanpa menggali realiti sosial yang mendalam.

Suara komuniti perlu diberi ruang, termasuk Orang Asli, masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak, minoriti agama, warga kurang upaya dan belia bandar berpendapatan rendah. Pendekatan ini memindahkan dokumentari daripada naratif dominan kepada naratif partisipatif, sejajar prinsip keadilan sosial Malaysia Madani.

Dalam teori komunikasi, pendekatan dialogik menekankan hubungan dua hala antara pencerita dan penonton. Dokumentari yang dialogik tidak menempatkan penonton sebagai penerima pasif, sebaliknya mengundang mereka berfikir dan membuat penilaian sendiri. Literasi budaya dan etika penceritaan menjadi kritikal meliputi persetujuan maklum, konsultasi dengan komuniti dan representasi adil perlu dijadikan standard profesional.

Dari sudut dasar awam, diplomasi budaya melalui dokumentari boleh disepadukan dengan strategi ekonomi kreatif. 

Dasar Industri Kreatif Negara dan inisiatif MyCreative Ventures menyokong kandungan tempatan, namun ekosistem lengkap diperlukan, termasuk latihan, penyelidikan dan akses platform antarabangsa. Strategi pengedaran melalui penstriman, media sosial dan tayangan komuniti dapat menjangkau audiens domestik dan global.

Selain peranan luar negara, dokumentari juga penting sebagai diplomasi dalaman. Ia menjadi cermin sosial, merakam ketegangan, kompromi dan solidariti antara komuniti. 

Generasi muda dapat dididik melalui dokumentari yang membicarakan isu kemiskinan, perubahan iklim atau migrasi tenaga kerja, membina pemikiran kritis dan kefahaman mendalam.

Akhirnya, dokumentari dianggap sebagai aset strategik negara. Kejujuran dan keberanian dalam memaparkan realiti sosial membina kepercayaan, memperkukuh maruah dan memperlihatkan Malaysia sebagai negara yang matang dalam mengurus kepelbagaian. 

Dalam dunia sarat maklumat dan prasangka, dokumentari yang inklusif dan jujur adalah wajah baharu diplomasi budaya Malaysia, bukan sekadar hiburan tetapi cerminan jiwa negara yang ingin difahami dan dihormati. –UTUSAN

 

NURUL NISHA MOHD SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON

Universiti Teknologi Mara (UiTM) &  Sixtysix Action Academy

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN