BANDAR Temerloh, terletak di bahagian barat Pahang, merupakan bandar kedua terbesar selepas Kuantan.
Dengan populasi sekitar 175,000 orang, Temerloh menjadi pusat pentadbiran daerah termasuk bandar-bandar kecil lain seperti Mentakab, Lanchang, Kerdau dan Kuala Krau.
Walaupun bandar ini sederhana saiznya, namun kesesakan di jalan utama yang menghubungkan Temerloh dan Mentakab, sejauh 10 kilometer (10km), kerap berlaku. Terutama di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Abu Bakar, kesesakan boleh meliputi sehingga 2 km, pada waktu pagi dan petang.
Beberapa faktor menyumbang kepada masalah ini. Pertama, empat buah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah berhampiran persimpangan menyebabkan aliran bas dan kenderaan awam padat pada waktu puncak.
Kedua, Jalan JKR C-08 merupakan laluan utama keluar masuk Bandar Temerloh dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 , daerah Jerantut dan Bera, meningkatkan jumlah kenderaan yang menggunakan jalan sama.
Ketiga, lokasi beberapa jabatan kerajaan dan Hospital Temerloh turut menambah beban trafik, termasuk perjalanan ambulans yang penting ke hospital kluster Pahang Barat.
Masalah kesesakan menjadi lebih serius ketika cuti umum dan Aidilfitri, dengan kenderaan bergerak perlahan sehingga ke persimpangan empat lampu isyarat di Taman Sri Semantan sejauh 5 km.
Oleh itu, antara cadangan penyelesaian jangka panjang termasuk membina jalan pintasan sepanjang 3 km dari Taman Sri Semantan ke Taman Sri Kemuning yang disambungkan ke Jalan Pintasan Temerloh-Mentakab. Laluan ini akan menjadi alternatif bagi kenderaan ke Bera tanpa melalui pusat bandar.
Tambahan pula, simpang bertingkat boleh dibina untuk memudahkan akses dan membolehkan ambulans bergerak lancar. Pembinaan hospital pakar swasta di kawasan ini menunjukkan keperluan jalan alternatif adalah kritikal untuk pembangunan bandar dan keselamatan penduduk.
Justeru, pihak berwajib digesa mempercepat perancangan dan pelaksanaan projek ini bagi mengurangkan kesesakan, memastikan perjalanan selamat dan menyokong perkembangan Temerloh secara lestari. –UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang











