Apa yang terkandung dalam MA63?

Apa yang terkandung dalam MA63?

PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) memberi tumpuan kepada struktur Persekutuan, pembahagian kuasa perundangan, kedudukan imigresen, agama, bahasa, perkhidmatan awam dan beberapa jaminan khas kepada Sabah dan Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak meliputi soal hak petroleum dan gas, sekali lagi membuka perdebatan besar mengenai makna sebenar kuasa autonomi Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. 

MA63 kadangkala difahami secara longgar seolah-olah menjamin autonomi menyeluruh termasuk kawalan penuh ke atas hasil bumi seperti minyak dan gas. Namun, realitinya dari sudut perundangan yang ketat MA63 tidak pernah memperincikan soal pemilikan petroleum.

Melihat dalam perspektif sejarah, MA63 ialah perjanjian politik dan perlembagaan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963 melalui penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dalam kandungannya memberi tumpuan kepada struktur Persekutuan, pembahagian kuasa perundangan, kedudukan imigresen, agama, bahasa, perkhidmatan awam dan beberapa jaminan khas kepada Sabah dan Sarawak. 

Mengenai isu petroleum pula difahami dalam ekonomi moden hari.

Dalam kerangka undang-undang berkaitan petroleum hanya dimuktamadkan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang meletakkan hak milik dan kawalan sumber petroleum di bawah Petronas bagi pihak Persekutuan. 

Dari sudut undang-undang sedia ada, inilah instrumen utama yang menentukan struktur tadbir urus minyak dan gas negara bukannya MA63. 

Namun persoalan sebenar tidak berhenti pada tafsiran undang-undang semata-mata. Di Sabah dan Sarawak, isu petroleum telah lama menjadi simbol kepada persoalan yang lebih besar tentang soal keadilan Persekutuan, jurang pembangunan wilayah dan kedudukan sebenar negeri-negeri Borneo dalam Persekutuan Malaysia. 

Bagi ramai rakyat di kedua-dua negeri ini, mengapa wilayah yang kaya dengan sumber masih berdepan kekurangan infrastruktur kemudahan asas dan peluang pembangunan yang seimbang berbanding semenanjung? 

Disinilah wujud ketegangan antara realiti perlembagaan dengan politik dan ekonomi dari segi undang-undang. Hujah MA63 tidak menyebut tentang petroleum mungkin tepat tetapi dari segi politik kenegaraan, tuntutan agar Sabah dan Sarawak menikmati bahagian lebih adil daripada hasil sumber mereka sendiri mempunyai asas moral dan sejarah yang kuat. 

Jika MA63 sering dirujuk sebagai kontrak pembentukan Malaysia maka semangat kontrak itu tidak seharusnya dibataskan kepada pembacaan teks perundangan semata-mata tetapi juga kepada roh keadilan dan keseimbangan antara negeri-negeri.

Mesti sedar konteks ekonomi hari ini sangat berbeza berbanding 1963 atau 1974 yang mana nilai petroleum bagi Petronas serta kebergantungan negara kepada hasil minyak dan gas berubah secara mendasar. 

Banyak perdebatan tentang MA63 pada masa sekarang sebenarnya bukan semata-mata soal ‘memulihkan apa yang tertulis’ tetapi merundingkan semula hubungan pusat dan negeri agar lebih sesuai dengan realiti Malaysia pada abad ke-21. 

Hal ini memerlukan pendekatan yang lebih matang, iaitu dengan memisahkan dua perkara utama. Pertama, kita perlu mengakui secara jujur bahawa dari sudut perundangan, MA63 tidak secara khusus memperuntukkan hak petroleum kepada Sabah dan Sarawak.

Kedua, kita juga perlu mengakui  dari sudut politik dan keadilan Persekutuan, tuntutan Sabah dan Sarawak untuk memperoleh peranan serta bahagian yang lebih besar dalam pengurusan dan hasil petroleum adalah wajar dipertimbangkan. Justeru, penyelesaian isu ini tidak boleh bergantung kepada hujah undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan melalui rundingan politik yang terbuka, matang dan berani.

Pendekatan tersebut boleh merangkumi semakan semula kadar royalti, pengukuhan peranan kerajaan negeri dalam pengurusan sumber atau pembinaan mekanisme perkongsian hasil yang lebih adil serta telus.

Jika isu ini terus dilihat sebagai pertikaian teknikal tentang siapa yang benar dari sudut undang-undang, ketegangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri hanya akan berpanjangan. Namun, sekiranya dilihat sebagai peluang memperbaharui semangat Persekutuan, maka ia mampu menjadi asas kepada hubungan pusat–Sabah–Sarawak yang lebih seimbang, matang dan saling menghormati.

Kesimpulannya, persoalan sebenar bukanlah sama ada MA63 menyebut secara khusus mengenai petroleum atau sebaliknya. Soal yang lebih besar ialah bentuk Persekutuan Malaysia yang ingin kita bina sama ada sebuah Persekutuan yang terikat pada tafsiran literal undang-undang semata-mata atau sebuah Persekutuan yang turut berpaksikan keadilan, perkongsian dan rasa kebersamaan antara wilayah. –UTUSAN

 

DR. YUSRY SULAIMAN

Pensyarah Kanan, 

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN