APABILA membicarakan pencemaran plastik, kebanyakan kita membayangkan botol plastik tersangkut di longkang, beg plastik hanyut di sungai atau timbunan sampah yang melimpah di kawasan perumahan.
Ia jelas kelihatan, mudah dikenal pasti dan sering menjadi perhatian media. Namun, ancaman sebenar mungkin tersembunyi dan lebih membimbangkan iaitu mikroplastik.
Mikroplastik merujuk kepada zarah plastik bersaiz kurang daripada lima milimeter, lebih kecil daripada sebutir beras. Zarah ini kini wujud dalam sungai, laut, udara, makanan dan air minuman.
Saiznya yang kecil membolehkan ia bergerak bebas dalam alam sekitar tanpa disedari, menyusup ke dalam ekosistem dan akhirnya kembali kepada manusia. Kajian menunjukkan ia boleh memasuki tubuh melalui makanan laut, air, atau udara yang tercemar, menimbulkan risiko kesihatan yang masih dikaji secara mendalam.
Mikroplastik terhasil melalui dua mekanisme utama. Pertama, plastik bersaiz besar seperti botol minuman dan beg plastik terurai akibat pendedahan kepada cahaya matahari, haba dan geseran fizikal.
Kedua, mikroplastik primer wujud sejak awal dalam produk harian seperti bahan pencuci, kosmetik, produk penjagaan diri, pakaian sintetik dan sisa industri.
Zarah halus ini mudah melewati sistem rawatan air sedia ada, menjadikannya ancaman yang sukar dikawal. Pembakaran terbuka sisa plastik pula melepaskan serpihan ke udara, yang kemudian kembali ke tanah dan sumber air melalui hujan.
Jika sungai, yang menjadi nadi kehidupan komuniti, sudah tercemar, persoalannya ialah ke manakah mikroplastik ini akan pergi seterusnya?
Kajian terhadap ikan yang biasa dimakan menunjukkan serpihan plastik bukan sahaja berada dalam sistem pencernaan, tetapi juga dalam tisu otot. Ini bermakna ia berpotensi memasuki tubuh manusia melalui pengambilan makanan.
Mikroplastik juga boleh membawa bahan kimia bahaya yang melekat pada permukaannya sekali gus meningkatkan risiko kesan toksik yang kompleks.
Malaysia memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mengurus plastik, termasuk Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 dan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021–2030. Dasar-dasar ini menekankan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, penggunaan alternatif mesra alam, dan pengukuhan sistem kitar semula.
Namun, keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan, penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi dan kesedaran masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Langkah strategik yang wajar termasuk memperkasakan Skim Tanggungjawab Pengeluar (EPR) untuk memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap kitar hayat produk plastik, pelaburan dalam sistem rawatan air untuk menapis mikroplastik dan kempen pendidikan awam yang mudah difahami.
Kesedaran pencemaran mikroplastik bukan sekadar isu kebersihan tetapi berpotensi menjejaskan kesihatan akan meningkatkan sokongan terhadap dasar dan perubahan tingkah laku.
Isu mikroplastik mengubah cara kita mentafsir pencemaran. Air yang jernih atau pantai yang bersih tidak lagi menjamin keselamatan sepenuhnya. Ancaman sebenar mungkin tersembunyi, tetapi kesannya terhadap kesihatan dan ekosistem nyata.
Menangani isu ini memerlukan kerjasama erat antara penyelidik, pembuat dasar, industri dan masyarakat. Jika kita tidak bertindak sekarang, persoalan adakah kita sedang memakan plastik tanpa disedari? Mungkin menjadi kenyataan yang tidak dapat dielak. – UTUSAN
NAJIHAH FARHANA MUHAMMAD HASBI & DR. SUZANA ARIFF AZIZAN
Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi,
Fakulti Sains, Universiti Malaya









