MALAYSIA kini berada pada persimpangan penting dalam pembangunan modal insan apabila Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberi nafas baharu seiring kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam dunia yang bergerak pantas, sistem pendidikan tidak lagi boleh bergerak perlahan. Keperluan industri berubah dengan cepat dan tenaga kerja masa hadapan perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang relevan, anjal dan bersedia menghadapi ketidakpastian.
Dalam konteks ini, TVET muncul sebagai antara pemacu utama penyediaan bakat negara.
Pendekatan TVET hari ini tidak lagi terhad kepada melahirkan graduan yang cekap mengendalikan mesin atau peralatan. Tumpuan kini beralih kepada pembinaan bakat ‘sedia masa hadapan’, iaitu individu yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, mempelajari kemahiran baharu dan berfungsi dalam pelbagai persekitaran kerja.
Aspirasi ini selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan masa hadapan sebagai cabaran utama pendidikan negara.
Dalam era digital, kemahiran asas semata-mata tidak lagi mencukupi. Pelajar TVET perlu menguasai literasi digital dan AI, di samping kemahiran kognitif aras tinggi seperti penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan kebolehan membuat keputusan.
Konsep pembelajaran sepanjang hayat, termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran secara berterusan, menjadi semakin penting.
Prinsip belajar, menyahbelajar dan belajar semula kini bukan lagi slogan tetapi keperluan sebenar dalam dunia kerja yang sentiasa berubah.
Namun, pembangunan bakat masa hadapan tidak boleh tertumpu kepada teknologi semata-mata. Nilai etika, tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap kesan penggunaan teknologi perlu menjadi sebahagian daripada proses pendidikan.
Kemahiran hijau, keprihatinan terhadap kelestarian dan kesejahteraan masyarakat juga penting untuk memastikan tenaga kerja yang lahir bukan sahaja cekap tetapi berjiwa kemanusiaan.
RPTM menegaskan keperluan melahirkan bakat yang adaptif, berdaya tahan dan berintegriti sebagai pembina negara.
Persepsi masyarakat terhadap TVET turut menunjukkan perubahan yang memberangsangkan. Laluan ini tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua. TVET menjanjikan kerjaya berteknologi tinggi dan pendapatan kompetitif.
Dengan lebih 1,300 institusi TVET di bawah pelbagai kementerian, agensi negeri dan sektor swasta, Malaysia memiliki ekosistem TVET yang luas dan berpotensi besar untuk menyokong pembangunan negara.
TVET juga merangkumi pelbagai tahap kemahiran, daripada tenaga teknikal peringkat operator hingga teknologis dan jurutera berkemahiran tinggi. Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) serta penyenaraian politeknik premier yang menawarkan program sarjana muda membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh laluan TVET sebagai arus perdana.
Penguasaan digital dan AI dalam TVET menjadi semakin kritikal bagi menyokong Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, pembuatan pintar, automotif elektrik, teknologi hijau, keselamatan siber serta agroteknologi memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk memastikan daya saing negara.
Dalam jangka panjang, konsep TVET 4.0 dijangka berkembang ke arah TVET 5.0 yang lebih berpaksikan manusia. Teknologi pintar perlu dimanfaatkan secara berhemah untuk meningkatkan kualiti hidup, bukan menggantikan peranan manusia sepenuhnya. Justeru, graduan TVET masa hadapan perlu seimbang antara kecerdasan teknologi dan kebijaksanaan nilai.
Kesimpulannya, kejayaan TVET dalam era digital dan AI bukan hanya soal teknologi tetapi soal manusia. Dengan kerjasama erat antara institusi, industri, kerajaan dan masyarakat, TVET berpotensi menjadi tulang belakang kepada pembinaan negara maju yang berdaya saing, beretika dan berteraskan inovasi.
Inilah masa untuk melihat TVET sebagai arus perdana pembentukan bakat unggul Malaysia. -UTUSAN
PROFESOR DR. ABDUL RASID ABDUL RAZZAQ & DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










