Ibu jadi mangsa pilih kasih orang tua sendiri

Ibu jadi mangsa pilih kasih orang tua sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali Ramadan, setiap kali itulah kenangan lama mengusik jiwa. Ada yang menjadi kenangan manis, meninggalkan luka dan semuanya menyimpan pengajaran yang tidak ternilai.

Demikian juga kisah yang dikongsi minggu ini, Mon (bukan nama sebenar) yang sejak kecil tidak pernah disukai dan menjadi mangsa pilih kasih orang tua sendiri tanpa sebab jelas.

Kisah Mon diceritakan sendiri oleh anak perempuannya, Niza dalam pertemuan baru-baru ini.

Niza berkata, sejak kecil dia melihat sesuatu yang janggal bagaimana cara orang tua ibu melayannya.

Ada kasih sayang yang diberikan kepada adik-beradik ibu yang lain, tetapi ibu berbeza. Sehingga ke hari ini, dia tidak pernah tahu dan tidak ada alasan yang jelas mengenainya.

Niza tidak berniat untuk membuka kisah lalu. Lagipun orang tua ibu telah lama meninggal dunia. Tujuh tahun lalu, bermula dengan datuk, disusuli nenek.

Bersama pemergian mereka, terkuburlah banyak cerita yang tidak sempat dijelaskan,

Tiada siapa lagi yang boleh ditanya, dan ibu sendiri sehingga ke hari ini memilih untuk diam.

Sebagai anak, kata Niza, dia tahu ada sesuatu yang ibu simpan hingga ke hari ini. Ada kisah yang jika diceritakan tidak mengubah apa-apa.

Sambung Niza, dia berkongsi cerita bukan untuk menuding jari kepada sesiapa. Cerita yang dikongsi, hanya sebagai pengajaran. Pilih kasih boleh berlaku tanpa disedari dalam keluarga.

Menyambung cerita kata Niza, apa yang dia tahu, sejak kecil keluarga mereka tidak benar-benar diterima.

Ada jarak yang memisahkan. Ibu dipandang serong dan tempiasnya terkena kepada mereka sekeluarga. Layanan dingin bukan sahaja terhadap ibu tetapi juga kepada bapa dan cucu-cucu.

“Kami tidak dirai atau dipeluk seperti sepupu lain. Semasa saya kecil, saya berasa pelik melihat ibu dilayan berbeza oleh datuk dan nenek.

“Nada suara datuk dan nenek berubah, bila ibu bersuara. Air muka nenek terutamanya tidak pernah manis apabila memandang ibu,” ujarnya.

Menurut Niza, ketika itu dia tidak tahu apa itu pilih kasih. Apa yang dia tahu, ibu selalu cuba menjaga adab, tidak membantah apatah lagi melawan dan meninggikan suara.

“Saya pernah terfikir, mungkin ada sesuatu yang salah ibu lakukan sehingga dia tidak disukai. Namun baik di pihak ibu mahupun datuk dan nenek, tiada sebarang penjelasan mengenainya,” ujarnya.

Sambung Niza, meningkat dewasa, sikap pilih kasih datuk nenek pada mereka sekeluarga semakin ketara. Sebagai anak sulung, dia belajar memerhati dalam diam.

Dia melihat bagaimana ibu tetap menjaga hubungan dengan pulang menziarahi orang tuanya walaupun tidak diraikan.

Setiap kali mereka sekeluarga mengunjungi datuk dan nenek, kehadiran mereka terasa tidak diharapkan.

“Sebagai anak, saya masih keliru. Saya cuba mencari apa salah ibu sehingga terpaksa menerima layanan sedemikian rupa daripada darah daging sendiri.

“Tetapi semakin dewasa, saya mulai faham bukan semua konflik itu datang dengan jawapan,” ujarnya.

Berkongsi cerita bagaimana layanan diterima ibu, kata Niza setiap keputusan ibu dipersoalkan. Setiap usaha ibu sering dikritik.

Jika adik beradik ibu melakukan kesalahan, ia dianggap biasa. Tetapi jika ibu tersilap sedikit, ia menjadi cerita panjang dan diungkit bertahun-tahun.

Kata Niza, pilih kasih itu nyata. Ia bukan sekadar kata-kata, tetapi perbuatan. Mereka sekeluarga sering menjadi yang terakhir untuk diingati setiap kali ada perjumpaan atau majlis keluarga.

Kata Niza, ada masanya dia bertanya dalam hati , mengapa kasih seorang ibu boleh terhenti pada anak sendiri?

Niza teringat di hari kelima Ramadan. Ketika ibu sedang menyiapkan juadah untuk berbuka, nenek memarahi ibu tanpa sebab jelas.

Ibu hanya berdiam diri dan terus menyiapkan juadah. Sambung Niza, sebagai anak dia belajar untuk menelan perasaan lebih awal daripada usia.

Dia melihat bagaimana ibu tetap pulang berhari raya dengan hati yang berat.

Bercerita lagi, kata Niza dia sangat bersyukur bapanya tidak pernah meninggalkan ibu sendirian.

Ketika orang tua ibu bersikap tidak baik, memandang rendah dan menyisihkan mereka sekeluarga, bapa tetap di sisi ibu. Bapanya, tidak pernah menyalahkan ibu atas apa yang berlaku.

“Saya melihat bagaimana bapa memilih melindungi ibu. Menenangkan ibu setiap kali ibu dalam kesedihan,” ujarnya.

Niza juga banyak belajar daripada ibu. Walaupun menjadi mangsa pilih kasih orang tua, ibu tidak pernah menanamkan kebencian dalam hati anak-anak.

Ibu selalu mengingatkan, mereka tetap perlu menghormati datuk dan nenek dan berbuat baik.

Tahun ini kurang seminggu Ramadan menjelang. Dia sentiasa memanjatkan doa agar ibunya kekal sihat dan dapat menjalani kehidupan dengan bahagia serta tenang.

“Jika ada yang masih ibu pendam, biarlah Allah lembutkan dan menguatkan hati ibu,” ujarnya.

Menurut Niza, dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Walaupun jalannya tidak mudah, Allah tetap memelihara keluarga kecil mereka.

Hari ini keluarga kecil mereka masih bersatu menjaga hubungan, suami yang setia dan anak-anak yang membesar dengan kasih sayang.

Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang Allah dan memiliki banyak hikmah termasuk melatih kesabaran dan meningkatkan ketakwaan seseorang pada Allah SWT.

Sebagaimana dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN