Teliti kandungan produk yang dibeli

Teliti kandungan produk yang dibeli

SETIAP produk yang dibeli dan digunakan perlu menjamin proses pembuatan yang bersih, selamat dan beretika dari mula sampai akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAPA ramaikah antara kita yang benar-benar meneliti kandungan di sebalik setiap produk yang dibeli?

Di sebalik botol yang nampak mewah, tertera barisan tulisan halus serta pelbagai simbol yang sering kita pandang sepi.

Mata mungkin menangkap imej arnab kecil, logo daun hijau, atau kod NOT (nombor notifikasi) yang panjang, namun adakah kita faham maksudnya atau sekadar melihatnya sebagai hiasan untuk menyedapkan hati?

Hakikatnya, simbol-simbol inilah yang memberitahu kita kualiti sebenar di sebalik setiap titisan produk tersebut.

Memahami label ini bukanlah satu bebanan akademik, sebaliknya langkah pertama untuk memastikan setiap bahan aktif yang menyentuh tubuh itu benar-benar jujur, telus dan selamat bagi jangka masa panjang.

Ini tidak terhad kepada makanan sahaja, malah merangkumi bahan atau produk yang digunakan pada tubuh badan. Ini kerana ia menjamin proses pembuatan yang bersih, selamat dan beretika dari mula sampai akhir.

Kebiasaannya, label ‘semula jadi’ sering digambarkan dengan logo daun hijau. Ramai yang menganggapnya sama dengan label ‘organik’, namun hakikatnya terdapat perbezaan nyata.

Label ‘semula jadi’ hanyalah isyarat awal bahawa bahan berasal daripada tumbuhan, namun ia boleh menjadi sekadar hiasan jika peratusan bahan tersebut terlalu sedikit.

Berbeza dengan label ‘organik’ yang membawa pengiktirafan rasmi seperti Ecocert atau Cosmos. Ia bukan sahaja menjamin kandungan semula jadi, malah membuktikan bahan tersebut ditanam secara organik tanpa racun perosak.

Seterusnya, cuba cari kalau ada simbol arnab kecil pada botol anda. Itulah label ‘Tanpa ujian haiwan.’ Islam sangat menekankan sifat ihsan terhadap haiwan, maka logo ini menjamin tiada nyawa yang diseksa di makmal demi kecantikan kita.

Begitu juga dengan logo berteraskan tumbuhan (daun bertangkai V), yang memastikan tiada bahan berasaskan haiwan digunakan. Memilih logo ini adalah cara kita menyatakan pendirian yang penjagaan diri kita tidak seharusnya dibina di atas eksploitasi nyawa lain.

Selain aspek etika dan ihsan, kandungan bahan dalam produk juga menjadi aspek yang kini semakin diperhalusi oleh pengguna. Label seperti ‘bebas PEG’ dan ‘bebas paraben’ mula menjadi buruan bagi mereka yang ingin mengelakkan risiko sisa kimia jangka panjang pada kulit.

Label ini memberi jaminan bahan pelembap sintetik atau pengawet tertentu digantikan dengan sumber yang lebih lembut, seperti gliserin tumbuhan atau sumber kelapa. Malah, bagi anda yang sering berdepan masalah pori tersumbat, simbol ‘tidak menyumbat pori-pori’ adalah jaminan visual bahawa formulasi produk tersebut tidak akan mencetuskan masalah jerawat.

Sambil membelek kandungan, jangan lupa tengok simbol anak panah segi tiga sebagai tanda menyokong usaha mengurangkan pencemaran bumi menerusi pembungkusan yang boleh dikitar semula.

Namun, dalam banyak-banyak simbol, yang paling perlu diambil berat juga adalah kod NOT Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai bukti sahih produk tersebut sudah disemak oleh pihak berkuasa dan bebas daripada racun berbahaya seperti merkuri.

Label pada botol adalah cerminan kepada cara kita berfikir sebagai pengguna yang bertanggungjawab. Memilih yang halal dan selamat bukan sekadar strategi kecantikan tetapi ibadah dalam menjaga kurniaan Tuhan.

Dengan memahami maksud di sebalik setiap logo, kita bukan sahaja menjaga kesihatan tubuh, malah sedang menghormati kehidupan, kebajikan makhluk lain dan kelestarian alam sekitar yang dikongsi bersama. – UTUSAN

DR. SYAZREEN NADIA SULAIMAN
Pensyarah Kanan,
Bahagian Kimia,
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN