RPTM 2026–2035 perlu lonjak daya saing negara

RPTM 2026–2035 perlu lonjak daya saing negara

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Negara (RPTM) 2026–2035 perlu memastikan universiti bukan hanya pusat ilmu tetapi juga pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menandakan langkah strategik untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya tahan dan sejajar dengan aspirasi pembangunan Malaysia Madani. RPTM bukan sekadar dokumen perancangan tetapi pelan hala tuju 10 tahun yang menyusun semula peranan universiti, politeknik dan kolej komuniti dalam membina masa depan negara.

Hari ini, daya saing negara tidak hanya bergantung kepada ekonomi atau sumber semula jadi, tetapi kualiti modal insan. Tenaga kerja berkemahiran tinggi, berfikir kritikal, beretika dan inovatif akan lebih bersedia menghadapi perubahan global. 

Prestasi pendidikan tinggi Malaysia mencatat peningkatan positif: kadar enrolmen meningkat daripada 48 peratus pada 2014 kepada 59 peratus pada 2024, manakala kebolehpasaran graduan mencapai 92.5 peratus, melepasi sasaran nasional. Walau bagaimanapun, kejayaan ini menuntut lonjakan strategik baharu untuk menghadapi cabaran masa depan, dan di sinilah RPTM 2026–2035 memainkan peranan penting.

RPTM dibangunkan melalui pendekatan tersusun dan inklusif melibatkan tiga fasa iaitu semakan prestasi sistem pendidikan tinggi, rumusan dapatan empirikal dan maklum balas pihak berkepentingan, serta libat urus awam melibatkan lebih 8,000 peserta. Pendekatan ini memastikan RPTM relevan dengan realiti masyarakat dan keperluan industri.

Antara teras utama RPTM ialah peralihan kepada pendidikan berpaksikan kemanusiaan. Nilai, empati, integriti dan kesejahteraan emosi menjadi sama penting dengan kemahiran teknikal. 

Majikan kini menekankan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama dalam pasukan. RPTM menekankan pembangunan graduan seimbang dari segi intelek, emosi dan moral, melahirkan warganegara produktif dan bertanggungjawab.

Peralihan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, Matematik (STEAM), menjadi fokus RPTM, mengintegrasikan seni, kemanusiaan dan kemampanan dalam pendidikan sains dan teknologi. 

Pendekatan ini sejajar dengan keperluan industri masa hadapan yang menuntut inovasi kreatif dan pemikiran merentas disiplin. Pada masa sama, pendigitalan dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) diperluas dalam pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan perkhidmatan pelajar, bagi memastikan bakat digital negara bersedia menghadapi ekonomi automasi dan berasaskan data.

RPTM juga menekankan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). TVET tidak lagi dilihat sebagai laluan alternatif tetapi sebagai strategi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

Pemerkasaan ini mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, meningkatkan produktiviti, menangani ketidakpadanan kemahiran dan memperkukuh kebolehpasaran belia.

Akses pendidikan yang inklusif dan adil turut menjadi fokus. Inisiatif melibatkan jaminan penempatan pendidikan tinggi bagi pelajar cemerlang, sokongan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) dan bantuan kewangan kepada pelajar keluarga miskin tegar. 

Penyertaan pelajar B40 kini sekitar 68 peratus, manakala enrolmen pelajar Orang Asli meningkat dua kali ganda dalam sedekad. Pendidikan inklusif menjadi alat mobiliti sosial dan asas daya saing negara.

RPTM memacu penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan (RDICE) dengan pendekatan berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat. Penyelidikan disasarkan menyelesaikan masalah sebenar komuniti, menyokong pembangunan negara dan memberi sumbangan global. Universiti bukan sekadar pusat ilmu tetapi pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Dengan perubahan demografi dan pasaran kerja, RPTM menekankan pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat. Peluang meningkatkan kemahiran pada bila-bila masa memastikan tenaga kerja sentiasa relevan dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, RPTM 2026–2035 bukan sekadar pelan pendidikan tinggi tetapi strategi nasional memperkukuh daya saing Malaysia. Melalui pendidikan berpaksikan kemanusiaan, penguasaan teknologi, pemerkasaan TVET, akses inklusif dan tadbir urus berkesan membolehkan pelan ini menjadikan pendidikan tinggi pemacu utama kemakmuran negara. 

Dengan hala tuju jelas dan pelaksanaan berdisiplin, RPTM memastikan Malaysia terus melahirkan bakat berkualiti dan bersedia memacu pembangunan negara secara mampan. -UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD

Pensyarah dan Penyelidik Kanan,

Pengurusan Teknologi Pengeluaran, 

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN