Ramadan menguji kemurahan, kebakhilan hati

Ramadan menguji kemurahan, kebakhilan hati

SEDEKAH tidak mengurangkan harta, bahkan menambahkannya dengan keberkatan. -IMEJ JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG Ramadan, umat Islam lazimnya mula menyusun sasaran ibadah,  memperbanyakkan zikir dan merancang amalan kebajikan. 

Namun di sebalik semangat ini, masih ada segelintir yang dibelenggu ketakutan kehilangan harta, bimbang kehabisan simpanan dan gusar jika terlalu memberi akan membawa kepada kemiskinan. 

Sikap inilah yang disebut sebagai bakhil, satu sifat tercela yang ditegur keras dalam Islam kerana bertentangan dengan keyakinan kepada Allah SWT sebagai pemberi rezeki.

Al-Quran mendidik orang beriman agar membelanjakan harta dengan yakin dan berlapang dada. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 267 menegaskan supaya harta yang dibelanjakan datang daripada sumber yang baik dan disayangi, bukan sekadar lebihan yang tidak bernilai.

Ketakutan kehilangan harta sering menjadi penghalang seseorang daripada menunaikan tanggungjawab sosial, sedangkan hakikatnya harta itu sendiri adalah amanah Allah.

Punca ketakutan ini dibongkar dalam surah al-Baqarah, ayat 268 apabila Allah menjelaskan syaitan menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan dan mendorong kepada sifat bakhil. 

Ramadan seharusnya menjadi medan melawan bisikan ini kerana pahala amalan digandakan dan pintu rahmat dibuka seluas-luasnya.

Rasulullah SAW menjadi teladan tertinggi dalam kemurahan hati. Baginda dikenali sebagai insan paling pemurah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, baginda diibaratkan lebih dermawan daripada angin yang bertiup kencang. Gambaran ini menegaskan Ramadan bukan masa menyimpan kerana takut kehilangan tetapi masa memberi kerana yakin kepada janji Allah.

Rasulullah SAW juga bersabda sedekah tidak akan mengurangkan harta, bahkan menambahkannya dengan keberkatan. 

Ganjaran sedekah tidak selalu terlihat secara segera, namun Allah menjanjikan balasan berlipat ganda sebagaimana diumpamakan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai 100 biji.

Dalam realiti hari ini, perancangan kewangan dan simpanan adalah wajar. Namun menjadi ujian iman apabila simpanan itu menjadikan tangan berat untuk bersedekah dan hati takut menunaikan zakat. Ramadan mendidik kita mengurangkan kebergantungan kepada harta dan menguatkan pergantungan kepada Allah.

Justeru, jangan biarkan ketakutan kepada kemiskinan menghalang kita daripada menjadi Muslim yang murah hati. 

Ramadan ialah madrasah jiwa yang mengajar kita memberi dengan yakin, hidup dengan keberkatan dan mempercayai janji Allah melebihi apa yang berada di tangan.

 

PROFESOR MADYA DR. MONIKA @ MUNIRAH ABD RAZZAK

Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, 

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN