Ramadan bulan didik berjimat

Ramadan bulan didik berjimat

RAMADAN ialah masa muhasabah untuk menilai cara hidup dan berbelanja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN hadir setiap tahun sebagai madrasah rohani, mendidik umat Islam mengenai kesederhanaan, kesabaran dan keinsafan. Namun, realiti hari ini sering bercanggah dengan roh Ramadan.

Ketika sepatutnya mengurangkan perbelanjaan dan memperbanyak amal, sesetengah daripada kita berbelanja lebih daripada bulan biasa. Seruan ‘Ramadan: Berjimat Cermatlah!” wajar dijadikan peringatan penting.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengawal nafsu, termasuk  berbelanja. 

Rasulullah SAW menjalani kehidupan sederhana walaupun berpeluang hidup mewah. Dalam Ramadan, baginda memperbanyak sedekah dan mengurangkan keperluan duniawi. Sikap boros jelas bertentangan dengan sunnah Nabi.

Fenomena bazar Ramadan membantu peniaga kecil menjana pendapatan tetapi juga menyumbang kepada pembaziran makanan dan wang. Ramai membeli pelbagai juadah untuk berbuka tetapi akhirnya tidak menghabiskannya. Makanan yang dibazirkan bukan sahaja merugikan, malah berdosa kerana pembaziran amalan syaitan.

Berjimat cermat bukan bermakna menyeksa diri. Ia bermakna membeli mengikut keperluan, bukan kehendak. Kesederhanaan membawa keberkatan.

Dari sudut ekonomi keluarga, perbelanjaan berlebihan boleh menimbulkan tekanan kewangan selepas Syawal, malah memaksa sesetengah keluarga berhutang atau mengurangkan keperluan asas.

Ramadan juga mengingatkan kita prihatin kepada golongan miskin. Nafsu berlebihan menutup mata terhadap kesusahan mereka. Wang dan makanan yang dibazirkan boleh disalurkan sebagai sedekah atau bantuan. 

Selain itu, berjimat melibatkan penggunaan elektrik dan air. Mematikan peralatan tidak perlu dan menggunakan sumber secara berhemah menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar.

Berjimat mendidik kita berdisiplin dan bertanggungjawab. Anak-anak dapat diajar menghargai rezeki, membezakan keperluan dan kehendak. Media dan iklan Ramadan sering mendorong pembelian berlebihan, kerana itu masyarakat perlu bijak menilai supaya tidak terpengaruh. 

Surau dan masjid juga boleh menyemai budaya sederhana dalam penyediaan moreh atau juadah berbuka, dengan lebihan disalurkan kepada yang memerlukan.

Islam tidak melarang menikmati makanan enak tetapi mencegah pembaziran. Berjimat memberi ruang untuk memperbanyak amal, bersedekah dan membantu saudara seagama. Ramadan ialah masa muhasabah untuk kita menilai cara hidup dan berbelanja. 

Semoga amalan berjimat cermat membentuk kehidupan sederhana, berdisiplin dan diredai Allah SWT. –UTUSAN

 

CHE RAHMAH AHMAD 

Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN