MALAYSIA mesti berdiri teguh sebagai sebuah negara yang bebas daripada rasuah.
Hasrat ini dizahirkan dengan jelas oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika bertitah perang tanpa kompromi terhadap rasuah.
Baginda menegaskan sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa atau menerima rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan akan diburu serta dihadapkan ke muka keadilan kerana perbuatan itu merupakan pengkhianatan terhadap negara.
Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar menyokong iltizam ini. Perang melawan rasuah bukan sekadar tanggungjawab pemerintah atau institusi penguatkuasaan tetapi amanah bersama seluruh rakyat.
Umum mengetahui ahli politik dan pegawai sering dianggap sebagai punca utama suburnya rasuah. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, kita akan sedar masyarakat juga terkesan dan dalam keadaan tertentu turut menjadi sebahagian daripada rantaian masalah ini.
Apabila rasuah berleluasa, persepsi yang bahaya mula terbentuk terutamanya dalam kalangan generasi muda bahawa memberi dan menerima rasuah bukan lagi jenayah.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan rasuah ialah barah masyarakat. Jika kanser memusnahkan tubuh manusia, rasuah pula memusnahkan pembangunan sosial, meruntuhkan keadilan dan kepercayaan, menghakis asas nilai masyarakat serta melemahkan institusi negara. Ia mencuri dana awam yang sepatutnya digunakan untuk perkhidmatan penting seperti hospital, sekolah dan pembinaan jalan raya yang akhirnya menindas golongan miskin.
Kesan rasuah terhadap masyarakat amat mendalam:
- Kemerosotan ekonomi: Wang pembayar cukai diseleweng, projek pembangunan terbantut dan keyakinan pelabur merosot.
- Ancaman terhadap keadilan sosial: Undang-undang dan peraturan boleh ‘dibeli’, menyebabkan orang jujur teraniaya manakala penjenayah terlepas.
- Hilang kepercayaan awam: Rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan dan institusi awam.
- Halangan kepada pembangunan: Perkhidmatan dalam bidang pendidikan serta penjagaan kesihatan menjadi tidak berkualiti dan tidak saksama.
Justeru, kita perlu membina dan memperkukuh sistem yang benar-benar bebas daripada rasuah. Pengalaman global membuktikan negara-negara yang paling kurang rasuah lazimnya merupakan negara yang paling progresif, sama ada dari sudut ekonomi mahupun pembangunan sosial.
Marilah kita bersama-sama mencari jalan untuk menentang kejahatan yang merosakkan ini. Perang melawan rasuah menuntut keberanian, kejujuran dan kesatuan. Hanya dengan komitmen bersama, kita mampu berdiri teguh sebagai sebuah negara yang bersih, adil dan bermaruah.-UTUSAN
N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Rasuah Busters Negeri Pulau Pinang










