Pemimpin perlu kawal emosi, jangan asyik marah

Pemimpin perlu kawal emosi, jangan asyik marah

PENGURUSAN kemarahan perlu dijalankan lebih awal untuk mengelakkan gangguan operasi dan imej organisasi. JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH seseorang bertindak dalam ledakan emosi sehingga mengabaikan pertimbangan akal?

Dalam saat marah, individu cenderung membuat keputusan terburu-buru dengan harapan masalah hilang sekelip mata. Malangnya, tindakan yang lahir daripada emosi tidak terkawal sering kabur dari rasional, malah berpotensi mencetuskan kesan lebih mendalam dan merugikan.

Di sesetengah organisasi, kemarahan berlarutan boleh menjejaskan pertimbangan dan mendorong pelanggaran peraturan, dendam peribadi atau sabotaj senyap.

Natijahnya, tindakan disiplin, tekanan emosi, konflik berpanjangan, malah pemberhentian kerja, sering menjadi akibat.

Stres yang berterusan pula boleh membawa kepada kemurungan, gangguan psikologi dan perubahan tingkah laku, terutamanya apabila digabungkan dengan masalah kewangan, konflik rumah tangga atau pengalaman traumatik.

Selain itu, sesetengah pekerja mudah tersentap dengan komunikasi keras atau tidak berhemah rakan sekerja. Perasaan marah yang terpendam boleh ‘makan dalam’ dan menunggu masa untuk meletus.

Oleh itu, pemimpin perlu memahami bahawa komunikasi berbentuk arahan semata-mata kurang berkesan dan berpotensi menimbulkan dendam. Pengurusan kemarahan perlu dijalankan lebih awal untuk mengelakkan gangguan operasi dan imej organisasi.

Konsep 3M boleh menjadi panduan praktikal. Pertama, meluahkan emosi tanpa agresif. Ini kerana perasaan marah perlu diakui dan dikawal untuk mengelakkan tekanan kronik.

Kedua, membataskan, iaitu menetapkan had kawalan dalam minda, menghentikan pemikiran negatif dan menukar fokus kepada tindakan lebih konstruktif. Ketiga, menenangkan, melalui teknik relaksasi atau terapi minda untuk menstabilkan emosi, menilai kesan tindakan dan bertindak secara rasional.

Kesedaran berterusan terhadap pengurusan kemarahan membolehkan kesejahteraan mental dan emosi organisasi terpelihara. Individu yang mampu mengawal kemarahan boleh berfikir lebih waras, mengelak kerosakan hubungan kerja dan mengekalkan prestasi.

Sebaliknya, kemarahan yang gagal diurus boleh menimbulkan persekitaran toksik, merugikan semua pihak.

Kesimpulannya, kemarahan bukan musuh tetapi isyarat awal yang boleh dimanfaatkan.

Organisasi perlu membudayakan komunikasi terbuka, empati, kawalan emosi dan saluran penyelesaian konflik yang konstruktif agar kemarahan menjadi pemangkin kepada keharmonian, kepercayaan dan keberkesanan secara menyeluruh. – UTUSAN

PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN