Kemarahan Abu Bakar ‘meletus’, sekali lagi nama tercicir sebagai Exco - Utusan Malaysia

Kemarahan Abu Bakar ‘meletus’, sekali lagi nama tercicir sebagai Exco

ABU Bakar Hamzah menunjukkan surat daripada Muhyiddin Yassin yang mencadangkan beliau sebagai Exco namun tidak dipilih oleh Menteri Besar di Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kemarahan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah ‘meletus’ apabila sekali lagi tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Beliau secara terbuka mendesak Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berundur kerana mendakwa
soal berkaitan pelantikan Exco berkenaan tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat gabungan berkenaan.

Menurut Abu Bakar, beliau sebagai Timbalan Pengerusi PN negeri cukup kesal dengan tindakan tersebut berikutan pemilihan barisan Exco kali ini membelakangi keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menamakannya untuk jawatan berkenaan.

“Saya kesal dengan tindakan Menteri Besar itu bukan kerana tidak dilantik tapi Presiden Bersatu telah mengutuskan surat kepada beliau untuk menamakan saya bagi jawatan berkenaan namun tidak diendahkan olehnya.

“Saya rasa ini tidak harus berlaku kerana melanggar arahan Persiden Bersatu supaya perkara ini (pelantikan Exco) dapat dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Exco Kerajaan negeri di Istana Arau di sini hari ini.

Terdahulu, Abu Bakar mendakwa pihaknya telah menyerahkan surat daripada Muhyiddin kepada Mohd. Shukri melalui wakil Bersatu pada Jumaat lalu yang mencadangkan namanya sebagai Exco pada penggal ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, beliau mendapat maklum bahawa pihaknya tidak dilantik bagi jawatan berkenaan susulan daripada penolakan oleh pihak istana.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas melakukan semakan, pihaknya mendapati tiada sebarang campur tangan daripada pihak istana berhubung pelantikan Exco berkenaan.

“Hasil rujukan saya tak pernah langsung pihak istana terlibat untuk menyebelahi mana-mana pihak dan tindakan itu adalah tidak wajar,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, Mohd. Shukri sewajarnya berbincang terlebih dahulu berhubung pelantikan Exco berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

Tambahnya, jawatan Exco kanan atau Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pentadbiran negeri ketika ini juga sewajarnya diberi kepada wakil parti Bersatu bagi menunjukkan kebersamaan dalam PN.

“Pengurusan majlis tertinggi PN perlu panggil Mohd. Shukri untuk menyatakan sebab atas situasi yang berlaku ini memandangkan penubuhan kerajaan negeri Perlis melibatkan dua parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya