DALAM landskap ekonomi global yang semakin kompetitif menyebabkan pembangunan modal insan tidak lagi boleh bergerak secara terpisah.
Ia memerlukan kolaborasi strategik antara universiti, industri dan kerajaan bagi memastikan negara memiliki tenaga kerja yang relevan, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Dalam konteks inilah Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) muncul sebagai model pendidikan yang progresif dan berimpak tinggi.
Sebagai universiti teknikal terkemuka negara, UMPSA mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya melahirkan 70 graduan Program Ijazah Dual hasil kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU), China. Graduan ini terdiri daripada 45 graduan perintis dan 25 graduan kohort kedua, yang dilatih khusus untuk menyokong pembangunan industri rel negara. Kejayaan ini hadir tepat pada masanya ketika Malaysia giat membangunkan ekosistem industri rel sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur negara.
Kerjasama antarabangsa ini mencerminkan keyakinan institusi luar terhadap kualiti pendidikan tinggi Malaysia. Ia bukan sahaja membuka ruang pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran, malah meningkatkan profesionalisme warga akademik serta menyumbang kepada tarikan pelaburan langsung asing.
Pada masa sama, inisiatif Pendidikan Rentas Negara (TNE) yang dilaksanakan ini memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Keperluan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan rel semakin mendesak seiring pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT dan LRT.
Industri ini bukan sekadar memerlukan tenaga kerja yang ramai tetapi jurutera dan profesional yang memiliki kemahiran khusus selaras dengan teknologi global terkini. Program Ijazah Dual UMPSA menjawab keperluan ini dengan melahirkan graduan yang bersedia memasuki alam pekerjaan sebaik tamat pengajian.
Keberkesanan program ini terbukti apabila kohort pertama mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus, dengan kesemua graduan bekerja dalam bidang kejuruteraan, khususnya berkaitan industri rel.
Kurikulum program ini dibangunkan secara bersama oleh UMPSA dan BJTU, merangkumi teknologi moden, sistem keselamatan, pendigitalan serta pematuhan piawaian antarabangsa. Pendedahan pembelajaran di dua negara turut melengkapkan graduan dengan pengalaman global dan kefahaman rentas budaya yang semakin penting dalam dunia pekerjaan hari ini.
Dalam menyokong projek ECRL khususnya, Program Ijazah Dual UMPSA memainkan peranan strategik dengan menyediakan tenaga mahir tempatan dalam bidang kejuruteraan rel, pengangkutan pintar, logistik, automasi dan analitik data. Keupayaan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar luar, malah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pahang untuk memperkasa bakat tempatan dan membina ekosistem industri yang mampan.
Elemen pemindahan teknologi turut menjadi kekuatan utama program ini. Melalui latihan industri dan penempatan kerja di institusi seperti Liuzhou Railway Technical and Vocational College di China, pelajar terdedah kepada teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan logistik pintar.
Ilmu dan pengalaman ini kemudiannya dibawa pulang untuk diaplikasikan dalam industri tempatan, sekali gus membantu Malaysia beralih ke arah ekonomi bernilai tinggi dan berteraskan pengetahuan.
Sejak 2010, UMPSA secara konsisten mengintegrasikan TNE sebagai agenda pengantarabangsaan institusi. Kini, UMPSA menjadi satu-satunya universiti awam yang melaksanakan 12 Program Ijazah Dual bersama rakan strategik dari Jerman, China, Kazakhstan dan Korea Selatan.
Pendekatan ini membolehkan pelajar memperoleh dua ijazah daripada dua negara, meningkatkan daya saing global serta kebolehpasaran graduan tanpa isu penyetaraan kelayakan.
Kejayaan Program Ijazah Dual UMPSA turut disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui kerangka dasar, kelulusan program dan jaminan kualiti.
Selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, UMPSA mencatat kadar bekerja graduan 99.1 peratus bagi tahun 2024, antara yang tertinggi di negara ini.-UTUSAN
PROFESOR DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)










