VUCA melangkaui jawatan kepimpinan

VUCA melangkaui jawatan kepimpinan

JAWATAN dalam kepimpinan tidak boleh dilihat sekadar simbol status atau populariti tetapi beralih daripada pembelajaran kepada pencapaian luaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI peringkat universiti, kepimpinan mahasiswa sering diraikan melalui jawatan, aktiviti dan program yang kelihatan aktif serta meriah. 

Pelantikan ke dalam barisan kepimpinan pelajar, penganjuran acara berskala besar dan penglibatan dalam pelbagai organisasi kampus lazimnya dijadikan ukuran kejayaan kepimpinan. Namun persoalan yang jarang diberi perhatian secara mendalam ialah sejauh manakah pengalaman ini benar-benar membentuk pemikiran analitik, keupayaan membuat keputusan dan daya tahan intelektual mahasiswa untuk menghadapi dunia yang semakin tidak menentu.

Dalam era VUCA (mudah berubah, tidak menentu, kompleks dan kabur) menyebabkan kepimpinan tidak lagi boleh dinilai secara simbolik. 

Dunia pekerjaan dan masyarakat hari ini menuntut individu yang mampu berfikir secara rasional, menilai risiko, menyesuaikan diri dengan perubahan pantas serta membuat keputusan dalam situasi yang serba terbatas. Justeru, kepimpinan mahasiswa perlu dilihat sebagai medan latihan awal kepada realiti tersebut, bukan sekadar aktiviti sampingan kehidupan kampus.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 menegaskan keperluan melahirkan graduan holistik dan seimbang. Namun keseimbangan ini sukar dicapai sekiranya kepimpinan mahasiswa hanya difokuskan kepada pengurusan acara dan pemenuhan takwim, tanpa memberi penekanan kepada proses berfikir secara strategik dan analitik. 

Kepimpinan seharusnya menjadi ruang untuk mahasiswa belajar menganalisis isu, menilai implikasi jangka pendek dan panjang serta membuat keputusan berasaskan data, etika dan pertimbangan sosial.

Tanpa dimensi pemikiran analitik, kepimpinan mudah terperangkap dalam budaya reaktif dan bersifat kosmetik. Keputusan dibuat untuk menyelesaikan masalah segera tanpa memahami punca sebenar.

Program dianjurkan tanpa penilaian keberkesanan yang bermakna. Dalam keadaan ini, mahasiswa mungkin kelihatan sibuk dan aktif tetapi gagal membina kematangan intelektual yang diperlukan dalam dunia sebenar.

Hakikatnya, era VUCA menuntut pemimpin yang mampu berfikir secara sistemik. Laporan Forum Ekonomi Dunia secara konsisten menekankan pemikiran kritis, penyelesaian masalah kompleks dan kebolehan membuat keputusan dalam ketidakpastian merupakan antara kemahiran terpenting masa hadapan.

Kemahiran ini tidak lahir secara automatik di bilik kuliah tetapi dibentuk melalui pengalaman memimpin dalam situasi sebenar yang memerlukan analisis, pertimbangan dan refleksi.

Dalam konteks ini, kepimpinan mahasiswa berfungsi sebagai simulasi awal kepada dunia profesional. Pemimpin pelajar berhadapan kekangan sumber, perbezaan pandangan, tekanan masa dan jangkaan pelbagai pihak. 

Setiap situasi memerlukan keupayaan menimbang pilihan, mengurus risiko dan menyesuaikan pendekatan apabila keadaan berubah. Pengalaman inilah yang membina daya tahan kognitif dan emosi mahasiswa.

Namun kepimpinan hanya menjadi latihan pemikiran apabila disertai kesedaran pendidikan yang jelas. Apabila jawatan dilihat sekadar simbol status atau populariti, fokus beralih daripada pembelajaran kepada pencapaian luaran. 

Dalam keadaan ini, pengalaman kepimpinan berisiko melahirkan mahasiswa yang yakin secara superficial tetapi rapuh apabila berdepan cabaran sebenar.

Kepimpinan yang bermakna menuntut keseimbangan antara tindakan dan refleksi. Setiap keputusan perlu dinilai, setiap kegagalan dianalisis dan setiap kejayaan diteliti secara kritikal. Tanpa refleksi, pengalaman menjadi rutin, tanpa analisis, pengalaman hanya menghasilkan keletihan, bukan kematangan.

Peranan universiti dalam hal ini amat penting. Institusi perlu menyediakan bimbingan, kerangka refleksi dan sokongan intelektual agar kepimpinan mahasiswa benar-benar berfungsi sebagai proses pembelajaran. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan insan berasaskan nilai, kebijaksanaan dan tanggungjawab sosial.

Akhirnya, kepimpinan mahasiswa yang sebenar bukan diukur melalui jawatan atau jumlah program tetapi melalui perubahan cara berfikir. 

Jawatan akan tamat dan aktiviti akan berlalu, namun pemikiran analitik dan keupayaan menyesuaikan diri dalam dunia VUCA akan kekal sepanjang hayat graduan.

Di sinilah nilai sebenar kepimpinan mahasiswa perlu diangkat dan diperkasakan dalam wacana pendidikan tinggi negara. -UTUSAN

 

NURUL NISHA MOHD. SHAH & NUR HANANI BATRISYIA A. HALIM

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN