SETIAP kali musim perayaan atau cuti panjang menjelma, rakyat Malaysia pastinya melalui pengalaman yang sama apabila lebuh raya utama ‘bertukar’ menjadi lautan kenderaan.
Perjalanan empat jam melarat menjadi lapan atau 12 jam. Dari Lebuhraya Utara-Selatan hingga ke Pantai Timur, dari selatan Johor ke Sabah dan Sarawak, kesesakan seolah-olah menjadi ritual tahunan yang kita terima tanpa banyak soal.
Namun, sampai bila kita mahu menganggap keadaan ini sebagai lumrah? Kesesakan setiap musim perayaan bukan isu baharu. Kita boleh menjangkanya, malah boleh mengukurnya.
Namun setiap tahun, penjelasan yang sama berulang dengan alasan jumlah trafik meningkat, rakyat pulang ke kampung atau pengguna perlu merancang perjalanan. Selepas cuti berakhir, isu ini kembali senyap sehinggalah musim berikutnya.
Kita perlu melihat masalah ini dengan lebih jujur. Kesesakan luar biasa ini berpunca daripada struktur sistem mobiliti negara yang terlalu bergantung pada kenderaan persendirian. Rakyat memandu bukan semata-mata kerana mahu tetapi mereka tiada pilihan yang benar-benar praktikal.
Pengangkutan awam antara bandar masih terhad dari segi liputan dan kapasiti. Perkhidmatan rel tidak meliputi semua laluan utama, bas ekspres terperangkap dalam kesesakan yang sama, manakala tambang penerbangan melonjak ketika musim puncak.
Dalam keadaan ini, kereta menjadi pilihan terpaksa. Apabila jutaan rakyat bergerak serentak menyebabkan lebuh raya pun lumpuh.
Kita juga terlalu lama menumpukan kepada penambahan lorong dan pelebaran lebuh raya sebagai penyelesaian. Kita bina lebih banyak kapasiti fizikal tetapi jumlah kenderaan meningkat lebih pantas.
Kesesakan ini turut membawa kesan ekonomi yang besar. Pemandu membazir masa dan bahan api, syarikat menanggung kos logistik lebih tinggi dan produktiviti negara merosot. Dalam negara yang ingin meningkatkan daya saing, kita tidak boleh memandang ringan kelemahan sistem mobiliti.
Lebih membimbangkan, kesesakan yang melampau meningkatkan risiko kemalangan. Pemandu yang terperangkap lapan hingga 10 jam mengalami keletihan fizikal dan mental.
Masa yang lama menyebabkan fokus merosot, refleks menjadi lambat dan tekanan emosi meningkat. Kita sering menyalahkan sikap individu tetapi jarang mengakui sistem itu sendiri mewujudkan tekanan berpanjangan.
Kenderaan yang bergerak dalam keadaan berhenti dan bergerak berulang kali juga lebih mudah rosak. Apabila kenderaan tersadai di lorong kecemasan, risiko kemalangan meningkat. Banyak tragedi berlaku bukan kerana pemandu memecut laju tetapi kerana mereka sudah terlalu letih.
Negara lain menunjukkan masalah ini boleh ditangani jika kerajaan melihatnya sebagai isu dasar, bukan sekadar isu operasi. Mereka melabur dalam rel jarak jauh, menggalakkan cuti berperingkat dan menggunakan sistem trafik pintar berasaskan data masa nyata.
Mereka memahami kesesakan dan keselamatan jalan raya saling berkait.
Di Malaysia, kita masih cenderung mengambil langkah reaktif. Kita umumkan tol percuma atau larangan lori tetapi langkah ini tidak menyelesaikan punca. Kita jalankan kempen keselamatan tetapi tetap membiarkan jutaan rakyat bergerak serentak dalam sistem yang sama.
Jika kita benar-benar mahu berubah, kita perlu mengutamakan pengangkutan awam antara bandar secara serius. Kita perlu memperkenalkan dasar kerja anjal dan cuti berperingkat agar pergerakan tidak bertumpu pada satu tarikh.
Kita juga perlu melaksanakan pengurusan trafik pintar secara menyeluruh, bukan bermusim. Persoalannya kini bukan lagi mengapa kesesakan berlaku tetapi adakah kita berani mengubah sistem yang menyebabkannya?
Selagi perubahan struktur tidak dilaksanakan dengan tegas dan konsisten, maka lebuh raya kita akan terus menjadi simbol kelemahan perancangan, bukan kemajuan negara. – UTUSAN
DR. SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Melaka










