SISTEM pendidikan adalah aspek utama yang mencorakkan ekosistem pembangunan sesebuah negara.
Apabila holistik dan terancang sistem pendidikannya, maka majulah negara tersebut di masa hadapan. Sebaliknya, negara yang tidak merancang sistem pendidikan dengan baik, akan bergelumang dengan masalah. Ini kerana, sistem pendidikan adalah wadah memanusiakan manusia di sesebuah negara.
Asbab inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035. Ia merupakan pelan hala tuju baharu sistem pendidikan negara yang mencakupi keseluruhan ekosistem pendidikan daripada pendidikan awal kanak-kanak, sekolah, prauniversiti, pendidikan tinggi, hinggalah pendidikan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
Kami amat tertarik kerana RPN ini memberikan fokus yang mendalam terhadap aspek karamah insaniah. Ia merupakan aspek terpenting dalam kehidupan masa kini yang terlalu bersifat individualistik, kapitalisme dan diancam dengan hambatan teknologi tanpa batas. Ini sekali gus membenam nilai insani dalam nurani masyarakat yang kononnya sedang melayani gaya hidup moden.
RPN 2026-2035 bakal mengintegrasi subjek sedia ada, memperhebat peranan guru, mempertingkat sokongan ibu bapa dan mengadaptasi teknologi terkini dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih inklusif.
Antara fokus utamanya ialah pembentukan karakter bersepadu, membugar nilai kemanusiaan (empati, kasih sayang), keadilan akses dan kecemerlangan holistik (akademik, sahsiah, teknologi kecerdasan buatan ,AI), selari dengan Dasar Madani untuk melahirkan insan yang berjasa buat, warga bermaruah, berdaya saing dan berindentiti nasional serta global.
Hari ini, masyarakat memerhatikan dengan dekat sebarang perkembangan pendidikan negara. Pastinya kerana mereka percaya pendidikan adalah antara wadah terpenting dalam membina tamadun sesebuah negara.
Apa yang dibentangkan Perdana Menteri pastinya dengan matlamat agar anak bangsa mendapat pendidikan yang terbaik sejak zaman kanak-kanak sehingga mengharungi kehidupan kampus seterusnya menjadi sebenar-benar insan yang bukan hanya bermanfaat buat agama, bangsa dan negara, malahan buat segenap makhluk di dunia ini.
Visi Perdana Menteri jelas demi mengangkat pendidikan sebagai teras pembinaan karamah insaniah, medium penyatuan bangsa dan pakar yang membawa manfaat buat manusia dan dunia, bukan semata-mata laluan kelayakan akademik untuk mencari kerja.
Sebanyak 14 pengumuman utama dibuat Perdana Menteri berpaksikan inisiatif untuk membentuk rangka tindakan awal kepada falsafah besar RPN 2026-2035.
Sebagai contoh, Dasar Pemerkasaan Jati Diri yang mewajibkan bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan kepada semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian. Ini satu mesej jelas akan peri pentingnya wadah jati diri dalam sebuah negara yang begitu majmuk rakyat dan kaumnya.
RPN juga menggariskan peri pentingnya sistem pendidikan yang holistik, berteraskan adab, akhlak dan akademik, berkonsepkan penyelesaian masalah masyarakat, memberikan impak sosial dan ekonomi, beraspirasi global serta mengaplikasikan teknologi terkini dalam membawa manfaat kepada manusia mahupun dunia.
RPN bakal mengenepikan sifat individualistik, sifat jumud, mengkritik tanpa solusi dan hedonisme yang kian mencengkam kehidupan masyarakat masa kini.
Justeru, marilah kita bersama mendoakan, menghulurkan jasa serta usaha agar RPN 2026-2035 dapat dilaksanakan sepertimana yang dirancang, sekali gus melahirkan generasi Malaysia yang berjasa kepada ummah dan dunia.
Adalah menjadi lumrah manusia terutamanya di zaman media sosial ini untuk gusar dan ragu-ragu terhadap sesuatu inisiatif pembaharuan, namun iltizam dan keberanian Perdana Menteri, pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membina lanskap pendidikan baharu yang lebih holistik ini tepat pada masanya. Ia perlu disokong demi kelangsungan sistem pendidikan masa hadapan negara.
Kecemerlangan pendidikan bukan hanya bertunjangkan pada keputusan peperiksaan dan CGPA yang tinggi sahaja. Namun lebih penting bagaimana sistem pendidikan tersebut dapat melahirkan generasi yang menguasai kemahiran kehidupan sebenar.
Semoga karamah insaniah dapat diangkat setinggi-tingginya dalam RPN sekali gus mewujudkan warga dan dunia yang lebih sejahtera.-UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. MD. AMIN MD. TAFF & PROFESOR DR. AHMAD MARTADHA MOHAMED
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) & Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)










