ALLAHYARHAM Dr. Siddiq Fadzil sering menekankan keperluan umat Islam beralih daripada sikap toleransi yang pasif kepada Fiqh al-Ta’ayush atau kefahaman mengenai hidup bersama dalam budaya damai.
Dalam karya beliau, Pembinaan Bangsa Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan, menegaskan kepelbagaian etnik dan agama adalah sunnatullah (ketetapan Tuhan) yang perlu diraikan, bukan dikesalkan.
Menurut beliau, belia Islam perlu memahami konsep kewarganegaraan moden menuntut penggunaan istilah Muwatinun (warganegara yang setara hak dan tanggungjawab) bagi menggantikan terminologi fiqh klasik yang bersifat binari seperti Dhimmi atau Harbi, yang tidak lagi relevan dalam konteks negara bangsa Malaysia.
Frasa ‘Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’ membawa konotasi identiti kaum dan agama tidak perlu dileburkan (asimilasi) untuk mencapai perpaduan.
Sebaliknya, setiap kaum bebas mengekalkan jati diri masing-masing, namun terikat dalam satu ‘bingkai’ kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Justeru, peranan belia adalah memperkukuh bingkai ini tanpa memecahkan kepelbagaian di dalamnya.
Ramadan menawarkan platform unik untuk interaksi sosial melalui tradisi berbuka puasa atau iftar yang mempunyai potensi sosiologi besar sebagai alat penyatuan atau ejen perpaduan.
Makan bersama adalah aktiviti manusiawi yang paling asas untuk meruntuhkan tembok prasangka.
Oleh sebab itu, penganjuran Majlis Iftar Muhibbah yang melibatkan pimpinan belia rentas kaum dan agama, sangat sesuai dianjurkan secara bersama.
Fokus utama bukan sekadar makan tetapi sesi Lita’arafu (saling berkenalan). Program seperti mengedar bubur lambuk perlu ditransformasikan daripada aktiviti kebajikan sehala kepada aktiviti gotong-royong bersama sukarelawan bukan Islam, bagi memupuk rasa kepunyaan.
Jangan sekadar menjemput rakan bukan Islam ke majlis berbuka puasa sebagai tetamu pasif. Jadikan mereka rakan penganjur dalam misi bantuan asnaf atau program pembersihan komuniti. Ini membina rasa kepunyaan bersama.
Program bantuan (seperti Bakul Rahmah Ramadan) perlu menyasarkan golongan rentan (B40) tanpa mengira agama.
Apabila sebuah organisasi belia Islam menyantuni keluarga India atau Cina yang memerlukan di bulan puasa, ia menghantar mesej dakwah yang kuat mengenai keadilan Islam, sekali gus merawat persepsi negatif terhadap agama.
Mengambil iktibar daripada insiden perobohan struktur ibadat atau isu-isu berkaitan membolehkan pendekatan belia bersifat berorientasikan penyelesaian dan bukan konfrontasi.
Pimpinan belia perlu menggunakan saluran rasmi seperti Jawatankuasa Perpaduan Kaum atau platform Majlis Belia Daerah untuk menyelesaikan pertikaian secara tertutup dan berhikmah, bukannya melalui media sosial yang hanya memburukkan keadaan.
Keharmonian di negara kita tidak akan tercapai melalui retorik politik yang kosong. Ia memerlukan anjakan daripada dasar berasaskan kaum kepada pendekatan berasaskan nilai dan keperluan manusiawi yang nyata.
Kita memerlukan belia yang berani untuk melaksanakan perubahan secara strategik, berperingkat dan berteraskan pembangunan keupayaan sebenar.
Satu persoalan yang perlu dijawab oleh nurani setiap aktivis “Adakah kita berani menjadi agen perubahan kecil yang konsisten dalam membina keadilan, atau kita sekadar memilih untuk menjadi penonton kepada perpecahan yang berpanjangan?” – UTUSAN
AHMAD FAHMI ADZHA MOHD. NASARUDIN
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Kesepaduan Sosial) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) /Setiausaha Agung, Majlis Belia Negeri Selangor










