DI celah kontroversi isu kuil haram, seorang peguam menulis di media sosial menuduh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi lapan tapak tanah rizab kerajaan untuk menggantikan tapak kuil yang dirobohkan di negeri itu.
Ini naratif yang bukan sekadar tersasar malah jauh menyimpang dari fakta sebenar. Langkah kerajaan negeri Kedah meluluskan Sijil Rizab atau Reserve Certificate (RC) untuk tapak lapan buah kuil Hindu tidak ada kaitan sama sekali dengan perobohan dua kuil yang dibina tanpa kelulusan sebelum itu.
Sebagai seorang peguam, beliau sepatutnya menyemak fakta sebelum melontarkan pandangan terbuka secara cuai dan tidak beretika yang boleh mengelirukan orang awam.
Memang benar di Kedah ada dua kuil kecil dirobohkan pada 9 Julai 2020 di Jalan Stesen, Alor Setar berhampiran stesen keretapi, dan pada 1 Disember 2020 di Taman Bersatu, Kuala Kedah. Kedua-duanya adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Kuil di Jalan Stesen dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembesaran jalan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik berhampiran stesen keretapi manakala di Kuala Kedah, kuil itu berada di atas tanah milik kerajaan negeri.
Bukan kuil sahaja, sebuah gelanggang silat dan beberapa struktur juga dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan kemudahan awam. Bercanggah dengan naratif dibawa peguam berkenaan, RC yang dikeluarkan oleh kerajaan Kedah bukanlah untuk menggantikan tanah tapak dua kuil yang dirobohkan itu.
Tidak masuk akal sama sekali roboh dua kuil kecil di tepi jalan, diganti dengan lapan lot tanah! Kerajaan Kedah tidak pernah memberi tanah miliknya kepada mana-mana pihak untuk tujuan bina kuil ataupun untuk memutihkan kuil haram.
Apa yang berlaku ialah banyak kawasan ladang getah dan kelapa sawit di negeri itu, kini telah diubah syarat menjadi kawasan perumahan, industri dan komersil. Semasa membuka ladang-ladang ini, pemilik ladang iaitu syarikat-syarikat British pada masa itu membawa masuk ramai pekerja dari India.
Mereka diberikan kebenaran mendirikan kuil untuk kegunaan sendiri di dalam kawasan ladang. Setelah milikan ladang bertukar tangan malah ada yang bertukar menjadi kawasan perumahan dan sebagainya, kuil-kuil itu masih kekal di situ, dan kebanyakan beroperasi tanpa kebenaran.
Masa berlalu, kesedaran dalam kalangan pengurusan kuil juga meningkat. Permohonan dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk mereka terus menjalankan aktiviti kuil dengan selesa.
Selain kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kuil juga perlu mendapat Sijil Rizab daripada kerajaan negeri. Untuk proses ini, pemilik tanah atau tapak kuil yang lazimnya adalah pemilik ladang atau pemaju, menyerahkan hak milik tanah itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Penyerahan hak milik tanah itu mestilah untuk satu tujuan khusus (special purposed) iaitu sebagai tapak kuil. Sebelum memberi kelulusan, pihak SUK menerusi agensi-agensi di bawahnya akan menjalankan penyiasatan dan penelitian dari pelbagai sudut.
Ini termasuk jarak dengan kawasan kediaman penganut agama lain, rumah ibadat agama lain terutama masjid dan surau, dan juga perkara-perkara lain yang berkaitan. Perlu dipastikan juga tapak itu tidak melanggar rizab awam seperti jalan, sungai dan sebagainya.
Perkara paling sensitif yang boleh menimbulkan sentimen keagamaan diberikan perhatian teliti. Setelah melalui pemprosesan pelbagai peringkat, permohonan itu diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk dipertimbangkan.
Jika didapati tiada sebarang masalah pada masa ini mahupun masa hadapan, barulah permohonan itu diluluskan dan pihak kuil bakal mendapat Sijil Rizab. Ketika itu, hak milik tanah adalah di bawah SUK (Kerajaan Negeri) manakala pihak pengurusan kuil selaku pengelola.
Ini yang sering menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. Mereka menyangka Kerajaan Negeri beri tanah milik kerajaan untuk didirikan kuil. Harus diingat bahawa dalam proses mendapatkan Sijil Rizab atau RC, hak milik tanah perlu diserahkan oleh pemilik asal kepada SUK.
Ia sama seperti sistem wakaf untuk bina masjid dalam kalangan umat Islam yang mana pewakaf akan menyerahkan hak milik tanah kepada Majlis Agama Islam untuk diwakafkan. Dalam konteks kuil, SUK bagi pihak Kerajaan Negeri jadi pemilik tanah yang baru.
Tanah itu asal muasalnya bukanlah milik Kerajaan Negeri sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang, dan ia diserahkan oleh pemilik kepada kerajaan dengan satu tujuan khusus untuk dijadikan tapak kuil.
Justeru, adalah jelas bahawa pemberian RC untuk lapan kuil di Kedah tidak ada kaitan dengan perobohan dua kuil yang dibina tanpa kelulusan itu. Ini bukan kali pertama nama Muhammad Sanusi dikaitkan dengan isu kuil yang berlaku di luar Kedah.
Hal yang sama pernah berlaku ketika kontroversi sebuah kuil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang berada di atas tanah milik syarikat Jakel Trading memuncak setahun lalu.
Lebih ironi, kali ini ia membabitkan seorang peguam. Janganlah semua isu dikaitkan dengan Kedah seolah-olah Kedah satu-satunya negeri yang ada di Malaysia. – UTUSAN
MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah










