Hari ini anak dididik oleh ibu bapa atau skrin digital?

Hari ini anak dididik oleh ibu bapa atau skrin digital?

TEKNOLOGI akan terus membesarkan anak dengan tanpa nilai, batas dan belas kasihan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAB anak tidak runtuh secara tiba-tiba tetapi merosot sedikit demi sedikit apabila ibu bapa memilih untuk berdiam diri dan membiarkan teknologi mengambil alih peranan mendidik. 

Dahulu, rumah berfungsi sebagai ruang utama pembentukan akhlak, nilai dan budi pekerti. Namun, hari ini, skrin telefon pintar dan internet tanpa tapisan semakin kerap menjadi ‘guru’ utama dalam kehidupan anak-anak.

Ramai ibu bapa, tanpa sedar, menggunakan peranti digital sebagai jalan mudah untuk menenangkan keadaan. Mereka menyerahkan telefon pintar agar anak diam, memberikan gajet supaya anak tidak mengganggu dan membenarkan akses internet tanpa pemantauan atas alasan sibuk atau tidak mahir teknologi. 

Keputusan ini, walaupun kelihatan kecil, sebenarnya menyerahkan pembentukan adab anak kepada dunia digital yang tidak pernah mengambil kira nilai, moral atau batasan.

Akibatnya, anak-anak membesar dengan kandungan yang membiasakan bahasa kasar, sikap kurang ajar dan emosi tidak terkawal. Media sosial serta permainan dalam talian membentuk cara anak bercakap, bertindak dan menilai diri sendiri. 

Tanpa bimbingan ibu bapa, pengaruh ini perlahan-lahan menggantikan nilai keluarga dan norma masyarakat.

Mengapa keadaan ini terus berlaku? Sebahagian ibu bapa enggan memikul tanggungjawab sepenuhnya. Ada yang mengharapkan sekolah mendidik adab, ada yang menyalahkan rakan sebaya dan memilih untuk tidak memahami dunia digital. Namun, ketidaktahuan bukan alasan, dan kesibukan tidak pernah mengatasi tanggungjawab membentuk masa hadapan anak.

Anak-anak menanggung kesan paling awal. Mereka membesar dengan emosi rapuh, kurang empati dan sukar menghormati orang lain. 

Pada masa sama, ibu bapa kehilangan peranan sebagai pembimbing, manakala masyarakat berdepan dengan generasi yang lemah dari segi adab dan nilai. Isu ini bukan lagi masalah peribadi tetapi cabaran sosial yang semakin meruncing.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila anak terdedah kepada internet seawal usia, dengan akses hampir tanpa had, selalunya di rumah sendiri. Apabila ibu bapa membenarkan peranti masuk ke bilik tidur tanpa kawalan, mereka sebenarnya membuka pintu kepada pengaruh luar tanpa sempadan.

Oleh itu, ibu bapa perlu kembali memainkan peranan secara aktif. Kawalan masa skrin, pemantauan kandungan, komunikasi terbuka dan teladan yang baik mesti bermula sekarang. 

Teknologi tidak pernah berniat mendidik anak dengan adab. Jika ibu bapa berundur, teknologi akan terus membesarkan anak  dengan tanpa nilai,  batas dan belas kasihan. –UTUSAN

 

DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN