Galak kembang budaya Malaysia dalam mikrodrama

Galak kembang budaya Malaysia dalam mikrodrama

MIKRODRAMA Malaysia bukan sahaja mampu menembusi pasaran global, malah boleh membina reputasi sebagai kandungan yang matang, beridentiti dan beretika.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIKRODRAMA (drama pendek vertikal) kini bukan lagi sekadar hiburan pendek di media sosial, tetapi berkembang menjadi industri global yang besar. 

Di peringkat antarabangsa, industri ini dianggarkan bernilai lebih AS$11 bilion (RM43.2 bilion) tahun lalu, manakala sektor mikrodrama di China sahaja direkodkan mempunyai lebih 300 juta penonton harian. 

Ini bermakna jutaan mata sedang menonton dan tidak keterlaluan jika kita menyimpulkan bahawa mereka yang mengisi ruang tontonan itu akan menentukan naratif budaya masa hadapan.

Di sinilah Malaysia mempunyai peluang unik untuk menawarkan oasis kandungan yang lebih berjiwa, beretika dan berakar budaya. Ambil contoh sebuah mikrodrama yang memaparkan kisah pekerja muda yang terhimpit antara tuntutan prestasi kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga. Ini bukan sekadar tentang kerjaya tetapi gambaran nilai ketimuran tentang rasa hormat kepada warga tua dan pengorbanan generasi sandwich

Naratif seperti ini menawarkan alternatif matang kepada kandungan global yang sering menormalisasikan nila-nilai individualisme melampau dan hubungan yang bersifat manipulatif.

Seterusnya, plot mikrodrama dengan nuansa komedi romantik yang berlatarkan kedai mamak. Ritual memesan makanan, budaya lepak hingga lewat malam, perbualan santai yang penuh makna dan tradisi boleh menjadi cerminan identiti sosial masyarakat Malaysia. 

Hubungan romantik boleh dibina melalui emosi, dialog dan situasi, tanpa perlu bergantung kepada unsur seksual berlebihan yang kini terlalu biasa dalam mikrodrama global.

Begitu juga dengan mikrodrama berlatarkan kawasan kampung atau flat di bandar. Kisah konflik kecil kejiranan, gosip komuniti dan cara masyarakat menyelesaikan masalah secara bersama menampilkan nilai keharmonian sosial yang semakin jarang dipaparkan dalam naratif mikrodrama global. 

Dalam mikrodrama yang sarat dengan konflik drama ekstrem, kisah sederhana tentang kebersamaan sebuah komuniti bakal menjadi angin segar lagi menenangkan buat para penonton.

Selain itu, konsep mikrodrama tentang anak muda daripada pelbagai kaum dan latar budaya yang tinggal bersama, bertelagah tentang makanan, bahasa dan adat, sebelum belajar memahami satu sama lain juga bakal menjadi gambaran jujur tentang masyarakat moden di Malaysia.

Ia bukan sekadar hiburan tetapi proses pembelajaran sosial yang berlaku secara semula jadi. Ia juga sangat relevan untuk penonton antarabangsa yang mencari cerita tentang kepelbagaian, empati dan saling menerima dan menghargai. 

Jika dimanfaatkan dengan betul, mikrodrama Malaysia bukan sahaja mampu menembusi pasaran global, malah boleh membina reputasi sebagai kandungan yang matang, beridentiti dan beretika. Ia boleh menjadi bentuk diplomasi budaya digital yang lebih berkesan daripada kempen pemasaran yang klise kerana mesejnya disampaikan melalui emosi, bukan sensasi.

Mikrodrama bukan sekadar peluang ekonomi atau trend hiburan sementara. Ia berpotensi menjadi medium penyebar budaya Malaysia dan pada masa yang sama bertindak sebagai antidot kepada gelombang kandungan mikrodrama global yang semakin keterlaluan. 

Dalam dunia digital yang semakin berkecamuk, pemain industri kreatif Malaysia mempunyai peluang untuk tampil sebagai suara yang lebih tenang, bermakna dan manusiawi. 

Persoalannya kini bukan sama ada kita mampu tetapi cukup beranikah kita untuk tampil berbeza?-UTUSAN

 

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK

Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN