SABAN tahun pelajar-atlet di Malaysia sering terperangkap dalam dilema yang cukup perit yang mana mereka perlu memilih antara kecemerlangan akademik atau mengejar kegemilangan sukan.
Jadual kuliah yang padat selalunya ‘berperang’ dengan tuntutan latihan pusat dan kejohanan antarabangsa. Namun, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 memberi sinar baharu bahawa dilema ini bakal berakhir.
Kelebihan paling ketara buat pelajar-atlet dalam RPTM adalah peralihan daripada pendidikan berstruktur kepada pendidikan fleksibel. Dokumen ini secara jelas menyebut tentang konsep penguraian pendidikan yang membolehkan pelajar belajar mengikut rentak sendiri melalui laluan yang lebih anjal.
Melalui Lonjakan 8 (Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat), atlet boleh mengumpul kredit pengajian dalam tempoh yang lebih lama atau berehat seketika ketika musim kejohanan tanpa perlu rasa rendah diri kerana dianggap ‘tercicir’.
Malah, melalui APEL, segala disiplin dan kemahiran yang mereka asah di padang atau balapan boleh diiktiraf sebagai sebahagian daripada portfolio akademik.
RPTM memberi penekanan untuk melahirkan bakat yang adaptif, tangkas dan berdaya tahan. Sebenarnya, tidak ada kumpulan yang lebih melambangkan ciri-ciri ini selain atlet berprestasi tinggi.
Kementerian Pendidikan Tinggi mahu melahirkan bakat yang berpusatkan kemanusiaan seimbang dari segi intelek, emosi dan fizikal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pelajar-atlet adalah contoh hidup bagi konsep ini.
Mereka sudah terbiasa dengan mentaliti juara, mereka juga tahu bagaimana bangkit daripada kekalahan dan pantas menyesuaikan diri dengan strategi baharu. Kompetensi inilah yang sangat dicari dalam pasaran kerja masa hadapan.
Dengan menyelaraskan pencapaian sukan dengan kriteria graduan yang diingini, pelajar-atlet kini boleh dilihat sebagai bakat sedia masa hadapan’ yang sangat bernilai.
Sebelum ini, sistem sokongan universiti lebih tertumpu kepada hal-hal akademik. Namun, RPTM kini meletakkan kesihatan mental dan kesejahteraan sebagai fokus utama.
Cadangan penubuhan kerangka Kesihatan Mental Pendidikan Tinggi Kebangsaan adalah satu langkah besar. Bagi pelajar-atlet, ini bermakna universiti kini lebih peduli tentang kesihatan emosi mereka, bukan sekadar melihat kepada gred atau pingat.
Dengan sokongan psikologi yang konsisten dan berkesan akan memastikan mereka mampu kekal fokus dan sihat, baik di dalam bilik kuliah mahupun di gelanggang.
Tiada atlet yang mampu hebat tanpa fasiliti yang menyokong, kerana itu RPTM komited untuk menaik taraf infrastruktur kampus supaya lebih moden dan mampan.
Di samping itu, menerusi Lonjakan 7 (Keunggulan Global), pelajar-atlet memainkan peranan sebagai duta kecil negara.
Apabila universiti memperkukuh kerjasama global, atlet yang bertanding di luar negara secara tidak langsung mempromosikan jenama pendidikan Malaysia. Ini adalah satu bentuk “diplomasi pendidikan” yang cukup berkesan.
RPTM 2026–2035 bukan sekadar dokumen polisi yang tebal tetapi manifesto untuk ‘membebaskan’ potensi pelajar-atlet kita.
Dengan sistem yang menghargai masa yang fleksibel, kesejahteraan holistik dan kekuatan karakter, Malaysia kini di landasan tepat untuk memastikan kejayaan menggulung ijazah dan memenangi pingat emas bukan lagi dua pilihan yang mustahil untuk dicapai serentak.
Kerangkanya sudah pun siap dan telah diuar-uarkan kini masanya untuk pihak universiti melaksanakannya agar peluang ini benar-benar dirasai oleh mereka yang berjuang di atas podium. – UTUSAN
DR. MOHD. ZULFADLI ROZALI
Pensyarah Kanan,
Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional (FPTV)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










