TERLEBIH dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) setiap tahun dengan nilai RM150, sekali bayar.
Dengan bantuan ini dapat meringankan beban khususnya keluarga berpendapatan rendah dan ramai tanggungan, umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hanya syukur ke hadrat Illahi dapat diucapkan atas bantuan tersebut.
Pun begitu, saya mencadangkan sudah sampai masanya kerajaan melalui KPM memikirkan agar bantuan BAP dinaikkan kepada RM200 mulai tahun hadapan untuk semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Satu.
Ini kerana kos membeli buku sekolah dianggarkan antara RM150 hingga RM250 mengikut keperluan. Walaupun ketika ini buku teks ditanggung sepenuhnya boleh KPM, namun buku aktiviti dan buku tulis yang banyak membebankan golongan B40 dan ke bawah.
Saya yakin ibu bapa dan penjaga bersetuju dengan cadangan ini memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Begitu juga peningkatan harga baju dan kasut sekolah yang melambung naik. Itu belum lagi kos tambahan baju kokurikulum dan aktiviti sekolah lain seperti Sambutan Hari Guru dan Hari Kanak-Kanak yang setiap tahun hadir dengan tema yang berlainan.
Cadangan ini bagi mengurangkan beban golongan terlibat, janganlah nanti ada yang beranggapan ibu bapa atau penjaga tidak tahu bersyukur dengan jumlah BAP sekarang. Lebih malang sekiranya ada yang beranggapan ibu bapa atau penjaga akan menjadi pemalas dan menunggu bantuan kerajaan sahaja tanpa mahu berusaha.
Hal tersebut tidak perlu berbangkitkan memandangkan ibu bapa ataupun penjaga sudah bertungkus-lumus mencari pendapatan untuk menyara keluarga. Namun sebagai tanggungjawab sosial, kerajaan khususnya KPM perlu mempertimbangkan cadangan ini.
Sekiranya ibu bapa atau penjaga merasakan mereka tidak wajar menerima bantuan tersebut ekoran berkemampuan, maka boleh mendermakan wang tersebut ke Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. -UTUSAN
CIKGU PENCEN
Jerantut, Pahang










