Banyak nilai di sebalik jenama tempatan

Banyak nilai di sebalik jenama tempatan

BANYAK jenama tempatan mengangkat elemen tradisi, nilai budaya dan keunikan tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRODUK  luar mudah menembusi pasaran tempatan dan sering menjadi pilihan utama pengguna dalam arus globalisasi yang semakin pantas.

Jenama antarabangsa dilihat lebih menonjol dari segi imej dan pemasaran, sekali gus mewujudkan tanggapan produk luar sentiasa lebih berkualiti.

Namun, di sebalik lambakan tersebut, sebenarnya wujud pelbagai produk tempatan yang berkualiti tinggi, kreatif dan mampu bersaing setanding jenama global sekiranya diberi sokongan yang konsisten.

Membeli produk tempatan bukan sekadar soal pilihan pengguna, sebaliknya sokongan langsung kepada ekonomi negara. Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk produk tempatan membantu kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana, membuka peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat. 

Sokongan ini memberi kesan rantaian yang besar, bukan sahaja kepada pengeluar, malah kepada komuniti dan ekosistem perniagaan secara keseluruhan.

Hakikatnya, produk tempatan hari ini telah jauh berkembang. Dari aspek kualiti, pembungkusan dan strategi pemasaran, banyak jenama tempatan tampil lebih berani, inovatif dan profesional. 

Malah, terdapat produk tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, membuktikan keupayaan usahawan tempatan menghasilkan produk berdaya saing dan memenuhi piawaian global.

Selain menyumbang kepada ekonomi, sokongan terhadap produk tempatan turut memainkan peranan penting dalam memelihara identiti dan budaya negara. 

Banyak jenama tempatan mengangkat elemen tradisi, nilai budaya dan keunikan tempatan dalam produk mereka, sama ada dalam bidang makanan, fesyen, kecantikan mahupun industri kreatif. Usaha ini secara tidak langsung membantu memartabatkan warisan tempatan agar tidak tenggelam dalam arus pemodenan.

Namun begitu, masih wujud persepsi segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap produk tempatan. Anggapan  produk luar lebih berkualiti perlu diubah kerana kualiti sebenar harus dinilai berdasarkan nilai, fungsi dan pengalaman pengguna, bukan semata-mata negara asal.

Kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, amat penting kerana mereka merupakan pengguna aktif dan berpengaruh, terutamanya melalui media sosial. Dengan sokongan dan promosi berterusan membolehkan produk tempatan menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian.-UTUSAN

 

AINUL BASHIRAH MOHD. GHAZALI

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN