LEBIH 1,200 peserta menyertai Ampang Charity Night Run 2026 (ACNR2026), edisi sulung larian amal yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap golongan autisme.
Program yang diadakan pada 7 Feb lalu menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kira-kira 100 kanak-kanak autisme bersama keluarga masing-masing, yang mengambil bahagian dalam kategori laluan sejauh 3 kilometer (km), 5km dan 10km.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Penasihat Yayasan Yayasan (TZA), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Penganjuran aktiviti larian ini turut menerima kerjasama Timbalan Yang Di-Pertua Ampang Jaya, Hasrolnizam Shaari , Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim .
Bercakap kepada pemberita sebelum melepaskan peserta larian itu, Pengerusi Penganjur ACNR2026, Ahmad Izwan Hamzah berkata penganjuran program berkenaan mampu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk lebih peka terhadap situasi golongan autisme.
“Menerusi program seperti ini, diharapkan lebih ramai anggota masyarakat sedar bahawa anak-anak autisme ini sebenarnya mempunyai keistimewaan mereka sendiri.
“Diharap masyarakat berikan bantuan dan sokongan, ia tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi sokongan moral seperti penyertaan program seperti ini,” katanya. –UTUSAN










