KECURIAN kabel bukan isu baharu tetapi kebelakangan ini semakin kerap berlaku sehingga menjejaskan bekalan elektrik, internet dan komunikasi.
Kerugian menimpa syarikat utiliti, pihak berkuasa, malah masyarakat yang bergantung kepada perkhidmatan ini. Selain penjenayah, kelemahan sistem pengurusan projek juga menjadi faktor penting yang jarang dibincangkan.
Banyak kerja penyelenggaraan atau pemasangan kabel dijalankan tanpa papan tanda rasmi yang jelas. Papan tanda ini sepatutnya memaklumkan orang awam tentang jenis kerja, tempoh dan pihak bertanggungjawab.
Tanpa maklumat ini, orang ramai sukar membezakan pekerja sah daripada pencuri. Penjenayah memanfaatkan kelemahan ini dengan menyamar sebagai kontraktor, melakukan kerja haram secara licik, malah ada yang berani bertindak pada waktu siang.
Kesan curi kabel bukan kecil. Bekalan elektrik terputus, talian internet lumpuh, lampu jalan padam, operasi perniagaan terganggu dan kos pembaikan meningkat. Kos tambahan ini akhirnya menjejaskan pengguna kerana kadar tarif atau caj mungkin dinaikkan. Selain kerugian ekonomi, nyawa juga berisiko kerana kabel elektrik mengandungi arus bahaya.
Syarikat yang melantik kontraktor memikul tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan tapak kerja dikawal. Papan tanda jelas, maklumat pegawai bertanggungjawab, pagar keselamatan dan tarikh kerja adalah langkah asas untuk mencegah penyamaran jenayah.
Pemantauan terhadap kontraktor dan subkontraktor juga penting bagi memastikan integriti projek terjaga.
Masyarakat pula perlu peka dan melaporkan aktiviti mencurigakan. Kesedaran curi kabel bukan sekadar curi logam tetapi menjejaskan kehidupan.
Kerana itu, media, sekolah dan organisasi komuniti boleh membantu mendidik rakyat tentang risiko dan kesan jenayah ini.
Teknologi juga boleh dimanfaatkan, seperti kod QR pada papan tanda projek, sistem pengesahan dalam talian atau nombor hotline aduan.
Dengan pengurusan lebih teratur, peluang penyamaran dapat dikurangkan. Penguatkuasaan undang-undang juga harus tegas terhadap pencuri dan pihak yang gagal mematuhi prosedur keselamatan.
Akhirnya, pencegahan curi kabel adalah tanggungjawab bersama. Dengan kerjasama antara syarikat, kontraktor, pihak berkuasa dan masyarakat, kita boleh membina persekitaran infrastruktur awam yang selamat, terurus dan bertanggungjawab.
Kejelasan maklumat dan disiplin dalam pengurusan projek bukan sahaja melindungi aset tetapi juga meningkatkan kepercayaan masyarakat.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Shah Alam










