PERJUANGAN memerangi rasuah dan membina integriti sering bergema dalam wacana awam, namun fokus yang mendalam perlu diberikan khususnya kepada Perkhidmatan Awam.
Sektor ini menjadi barisan hadapan tadbir urus negara kerana di sinilah keputusan penting dibuat, lesen diluluskan, projek diagihkan dan perkhidmatan diberikan.
Setiap peluang ini menjadi rebutan, malah ada yang mengambil kesempatan menggunakan taktik tidak beretika termasuk rasuah. Fenomena sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjadi tunjang kedaulatan negara.
Pertanyaan utama timbul, mengapa amalan rasuah masih wujud sedangkan kerajaan telah meningkatkan kesejahteraan penjawat awam?
Peralihan kepada Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada 2025 membawa kenaikan gaji sehingga 15 peratus, manakala pelbagai faedah dan insentif ditambah baik untuk memastikan persekitaran kerja kondusif. Usaha kerajaan meringankan beban rakyat, termasuk penyelarasan harga minyak, sepatutnya mengurangkan tekanan perbelanjaan harian. Dengan keadaan ini, alasan kesempitan hidup untuk mengambil rasuah semakin tidak relevan.
Perkhidmatan awam adalah sektor mulia yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara. Kecekapan dan integriti penjawat awam bukan sahaja mengekalkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga melindungi imej dan kestabilan negara. Memelihara kepercayaan rakyat adalah tanggungjawab kolektif kerana membina reputasi memerlukan usaha bertahun-tahun tetapi meruntuhkannya hanya sekelip mata.
Rasuah berpunca daripada sifat tamak dan sikap mengutamakan kepentingan diri. Seorang penjawat awam perlu menanam kesedaran tentang misi perkhidmatannya dan mengutamakan integriti.
Jika cita-cita seseorang hanyalah gaya hidup mewah, kerjaya dalam industri swasta atau keusahawanan mungkin lebih sesuai. Jalan integriti mungkin mencabar tetapi membawa ketenangan, keberkatan dan kemuliaan yang berpanjangan.
Selain itu, subbudaya organisasi turut mempengaruhi sikap. Alasan seperti “semua orang buat, saya terpaksa ikut” sering dijadikan pembenaran. Di sinilah prinsip diri dan keteguhan moral diuji.
Islam mengajar kita cegah kemungkaran dengan tangan, jika tidak mampu cegah dengan lisan dan jika masih tidak mampu cegah dengan hati, kerana itu adalah selemah-lemah iman.
Prinsip ini selari dengan ajaran semua agama yang tidak membenarkan rasuah. Maka, ikrar “Kepercayaan kepada Tuhan” yang sering dilafazkan dalam perhimpunan rasmi harus dihayati kembali.
Membina ekosistem berintegriti bukan sekadar soal gaji dan ganjaran tetapi soal nilai dan ketahanan moral. Komitmen individu diperlukan untuk memilih kebenaran, walaupun pahit. Menolak rasuah memerlukan kekuatan dalaman yang kukuh, pegangan nilai yang mantap, amalan kerohanian serta sokongan rakan sejawat dan kepimpinan yang telus.
Marilah kita berdoa dan berusaha agar setiap warga perkhidmatan awam diberi kekuatan untuk menolak rasuah.
Setiap tindakan berintegriti, walaupun kecil, adalah kemenangan bagi negara kerana menjadi ‘batu bata’ bagi membina kembali kepercayaan rakyat. Lindungi perkhidmatan awam sebagai medan amal jariah, sumbangan suci kepada negara.
Pilihlah jalan kebenaran walaupun tidak menjanjikan kemewahan segera tetapi membawa ketenangan dan kemuliaan sejati.
Negara memerlukan perkhidmatan awam yang bersih demi memastikan kemakmuran dapat dinikmati semua rakyat secara adil dan saksama.-UTUSAN
MOHD. RAFIZI RAHMAD
Ketua Timbalan Pendaftar dan Pengarah, Jabatan Penyelidikan & Inovasi(JPI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)










