Kehidupan pelajar universiti semakin tertekan

Kehidupan pelajar universiti semakin tertekan

MENJAGA kebajikan pelajar bukan pilihan tetapi tanggungjawab moral dan sosial yang tidak boleh ditangguhkan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kesibukan kampus yang kelihatan aktif dan dinamik, tersimpan realiti pahit kehidupan pelajar universiti di Malaysia. Kenaikan kos sara hidup yang berterusan menjadikan kehidupan pelajar bukan sekadar perjuangan akademik tetapi ujian kelangsungan hidup.

Kos makan, sewa bilik, pengangkutan, buku pengajian dan keperluan asas lain meningkat lebih cepat daripada kemampuan kewangan pelajar, terutamanya mereka daripada keluarga B40, anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Isu ini kini berkembang menjadi krisis sosial. Laporan tidak rasmi menunjukkan pelajar dihalau keluar kerana gagal membayar sewa, terpaksa berlapar, malah ada yang menghadapi tekanan emosi serius sehingga terlintas keinginan mencederakan diri sendiri. Tekanan kewangan bukan sekadar angka tetapi isu kemanusiaan yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental pelajar.

Kos makan menjadi beban paling asas dan menekan. Harga makanan di kafeteria dan kedai sekitar kampus meningkat, memaksa pelajar mengurangkan kekerapan makan, memilih makanan kurang berkhasiat atau tidak makan langsung. Sementara itu, kos sewa bilik juga meningkat akibat kekurangan kolej kediaman dalam kampus.

Pelajar yang tinggal jauh daripada kampus terpaksa menanggung kos pengangkutan tinggi manakala buku dan bahan pembelajaran yang mahal menambah lagi tekanan kewangan. Pilihan antara keperluan asas atau akademik tidak sepatutnya wujud dalam sistem pendidikan yang adil.

Implikasi psikologi daripada tekanan berpanjangan ini amat membimbangkan. Tekanan hidup, rasa malu untuk meminta bantuan dan ketakutan dianggap gagal mendorong sebahagian pelajar ke tahap kemurungan serius. Ada yang menarik diri daripada aktiviti sosial, memendam perasaan, malah ada yang berasa putus asa. Ini menandakan sistem sokongan sedia ada masih belum mencukupi menangani realiti kehidupan pelajar hari ini.

Pelajar bukan malas atau boros. Mereka adalah anak-anak keluarga yang lama bergelut dengan kemiskinan, ada yang kehilangan ibu bapa dan menjadi harapan keluarga. Pendidikan tinggi seharusnya menjadi jalan keluar daripada kemiskinan, bukan memperdalam penderitaan.

Oleh itu, isu ini perlu ditangani secara holistik. Universiti, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu bekerjasama untuk memastikan bantuan kewangan mencukupi, tepat sasaran dan disalurkan sebelum keadaan menjadi kritikal.

Selain bantuan material, sokongan psikososial juga penting. Sistem kaunseling universiti perlu diperkuat sebagai komponen utama kesejahteraan pelajar. Sektor swasta dan masyarakat boleh menyumbang melalui program tanggungjawab sosial, seperti tajaan makanan, sewa berpatutan, tabung kecemasan, dapur percuma dan mentor-mentee.

Akhirnya, kos kehidupan pelajar universiti mencerminkan nilai masyarakat. Cara kita menjaga pelajar hari ini akan menentukan kualiti tenaga manusia masa hadapan. Jika mereka dibiarkan berjuang sendirian, kelaparan, kehilangan tempat tinggal dan tenggelam dalam tekanan emosi, kita gagal sebagai sistem pendidikan dan masyarakat berperikemanusiaan.

Pelajar universiti bukan beban, mereka aset negara. Menjaga kebajikan mereka bukan pilihan tetapi tanggungjawab moral dan sosial yang tidak boleh ditangguhkan.-UTUSAN

DR. MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Pensyarah Kanan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×