Kehadiran fizikal bukan satu-satunya ukuran keibuan

Kehadiran fizikal bukan satu-satunya ukuran keibuan

TIDAK perlu berasa bersalah memilih untuk bekerja kerana dalam proses itu anak-anak sedang belajar berdikari, mengurus diri dan membina kekuatan dalaman walaupun tanpa sokongan yang sentiasa ada di sisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nilai seorang ibu tidak seharusnya hanya ditentukan oleh masa keberadaan di rumah. Terdapat perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi sebenarnya meninggalkan kesan emosi dan nilai dalam jiwa anak-anak.

Hakikatnya, tidak semua ibu mampu hadir sepenuhnya dari sudut fizikal kerana memilih untuk bekerja. Pilihan ini amat bernilai. Malah, dalam pendidikan anak-anak, pilihan ini juga merupakan cara yang baik untuk membantu anak-anak belajar tentang kehidupan.

Bagi anak-anak yang memiliki ibu bekerja, mereka mempelajari hidup tidak menjanjikan kemudahan tetapi sentiasa membuka ruang untuk berani berusaha, bertindak dan tidak mudah mengalah, walaupun sering dipandang remeh oleh orang lain. Hal ini merupakan pembelajaran penting yang ditonjolkan ibu bekerjaya melalui sisi sebenar kehidupan.

Selain itu, hakikat kehidupan juga menuntut kesedaran ibu tidak akan selamanya berada di sisi anak-anak. Suatu masa, perpisahan akan berlaku kerana anak-anak telah dewasa dan membawa haluan hidup masing-masing.

Bahkan, ada masa yang tidak dapat dielakkan apabila perpisahan berlaku kerana kematian. Kesedaran inilah yang mendorong ramai ibu bekerjaya untuk membesarkan anak yang berdikari, mampu mengurus diri dan kuat walaupun tanpa sokongan berterusan.

Pembinaan disiplin, rutin dan tanggungjawab sejak kecil sering menjadi antara usaha utama ibu bekerjaya. Ia bukan sekadar latihan pengurusan diri sebagai manusia tetapi juga latihan spiritual sebagai hamba Tuhan.

Anak-anak perlu belajar kelemahan bukan sesuatu yang memalukan. Dalam hal ini, ibu bekerjaya berperanan sebagai contoh sebenar keletihan, kekecewaan dan emosi yang bercampur-baur merupakan sebahagian daripada realiti hidup yang perlu diurus dengan sihat.

Dalam kerangka keibubapaan Islam, tanggungjawab ini bukan sekadar bersifat praktikal malah juga amanah spiritual. Seruan untuk memelihara diri dan keluarga daripada kebinasaan bukan hanya tentang dosa dan pahala tetapi tentang usaha mendidik, membimbing dan mencuba sedaya mungkin sebelum menyerahkan selebihnya kepada Tuhan dengan penuh kesedaran akan keterbatasan manusia.

Mungkin persoalan yang lebih besar untuk difikirkan bukanlah sama ada seorang ibu itu bekerja atau tidak tetapi apakah ruang yang kita sediakan sebagai masyarakat untuk meraikan, menyokong dan memperkasakan pembinaan emosi serta nilai dalam keluarga moden.

Dalam sebuah dunia yang masih sering menilai darjat keibuan melalui apa yang kelihatan di luar, mungkin sudah tiba masanya kita menyoal dengan lebih jujur iaitu, bukan sekadar berapa lama seorang ibu berada bersama anaknya tetapi apakah rasa yang benar-benar ditinggalkan dalam jiwa anak-anak itu sendiri.-UTUSAN

DR. NUR SHAHIDAH PA’AD
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×