CUTI sekolah baru sahaja berlalu. Pun begitu sepatutnya ibu bapa memahami yang cuti sekolah selama hampir sebulan itu bukan sekadar masa untuk bersantai tetapi juga tempoh penting untuk perkembangan fizikal, psikologi dan sosial kanak-kanak.
Pada masa ini, sistem hormon mereka sedang aktif bekerja untuk pertumbuhan tulang, otot, organ dan perkembangan otak. Malangnya, ramai kanak-kanak mengisi cuti sekolah atau hujung minggu dengan aktiviti pasif seperti menghadap gajet terlalu lama dan pemakanan tidak sihat, yang boleh mengganggu keseimbangan fisiologi mereka.
Hormon pertumbuhan (GH) dihasilkan semasa tidur nyenyak dan merangsang pertumbuhan tulang serta otot, pembahagian sel dan pembaikan tisu. Hormon tiroid pula mengawal metabolisme dan perkembangan otak, manakala hormon seks memainkan peranan dalam pembentukan ciri fizikal ketika menghampiri remaja.
Aktiviti fizikal, pendedahan cahaya matahari, tidur yang cukup dan interaksi sosial merangsang pengeluaran hormon-hormon ini. Jika kanak-kanak menghabiskan masa terlalu lama di depan skrin menyebabkan rangsangan fisiologi terhadap hormon berkurang, mengganggu pertumbuhan dan perkembangan normal.
Paparan cahaya biru daripada gajet boleh menekan hormon melatonin iaitu hormon yang mengawal tidur. Tidur yang terganggu menyebabkan pengeluaran hormon pertumbuhan tidak optimum, menjejaskan fizikal, fokus dan sistem imun.
Kurang tidur dan gaya hidup pasif meningkatkan risiko obesiti, diabetes dan masalah metabolik lain sekiranya dibiarkan dalam tempoh jangka masa panjang. Selain itu, tekanan emosi akibat penggunaan gajet berlebihan boleh menimbulkan hormon stres, kortisol.
Paras kortisol yang tinggi secara kronik boleh merosakkan sistem imun, mengganggu glukosa darah dan mempengaruhi perkembangan otak, termasuk keupayaan mengawal emosi dan tingkah laku.
Sebaliknya, mengisi hujung minggu dengan aktiviti aktif seperti sukan, permainan luar, berkebun dan aktiviti kreatif memberi kesan positif terhadap tubuh dan emosi. Ini kerana aktiviti fizikal merangsang hormon endorfin yang meningkatkan rasa gembira, kesihatan jantung dan pertumbuhan otot.
Pendedahan cahaya matahari membantu sintesis vitamin D, penting untuk tulang dan sistem imun. Interaksi sosial pula merangsang hormon oksitosin, yang mengurangkan kesan stres, menyokong kesihatan emosi dan membantu perkembangan rangkaian saraf penting untuk empati, komunikasi dan kawalan diri.
Gajet jika digunakan secara terkawal dan berstruktur dapat menyokong pembelajaran dan pendedahan maklumat baharu.
Masalah timbul apabila gajet menjadi aktiviti utama menggantikan pergerakan, tidur dan interaksi sosial. Gaya hidup pasif ini boleh mengakibatkan berat badan berlebihan dan gangguan metabolik kerana tenaga tidak digunakan dengan betul.
Obesiti pada usia muda boleh menjejaskan struktur badan dan meningkatkan risiko penyakit kronik di masa hadapan.
Oleh itu, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam merancang hujung minggu yang seimbang. Jadual harian harus mengimbangi masa bermain, belajar, berehat dan penggunaan gajet.
Aktiviti seperti berbasikal, membaca, bermain di luar dan eksplorasi alam membantu perkembangan hormon dan tubuh. Pemantauan berterusan, had masa skrin dan teladan gaya hidup sihat oleh ibu bapa memastikan anak tidur cukup, mengawal emosi dan mengekalkan keseimbangan fisiologi.-UTUSAN
DR. RAZIF DASIMAN
Pensyarah Kanan (Fisiologi),
Jabatan Sains Asas,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Selangor










