IOC bukti TVET mampu cungkil bakat kemahiran tinggi

IOC bukti TVET mampu cungkil bakat kemahiran tinggi

SEIRING perkembangan pesat industri kreatif digital, Program Industri dalam kampus (IOC) membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan pengalaman sebenar. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELARI aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan gagasan Malaysia Madani, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus melakar kemajuan menerusi pelaksanaan Program Industri Dalam Kampus (IOC).

Program ini bukan sekadar inisiatif baharu, sebaliknya menjadi pemangkin penting reformasi TVET dengan membawa suasana, budaya kerja dan piawaian industri sebenar ke dalam kampus.

Melalui IOC, pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran teori. Sebaliknya, didedahkan secara langsung kepada amalan industri melalui kerjasama erat dengan pemain sektor berkaitan.

Hampir 70 peratus kandungan program menumpukan aspek praktikal, projek sebenar dan latihan berasaskan pekerjaan. Pendekatan berteraskan industri ini memastikan kemahiran yang dikuasai pelajar kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah, sekali gus mengangkat TVET sebagai pemacu utama pembangunan tenaga mahir negara.

Antara bidang fokus yang dilaksanakan ialah Multimedia Kreatif Pengiklanan dengan penekanan terhadap fotografi digital. Pelaksanaan program ini membuka ruang pembelajaran dunia sebenar sejak awal pengajian, yang mana pelajar bukan sahaja mempelajari konsep, malah memahami realiti kerjaya di lapangan.

Pengiktirafan rasmi daripada Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada 13 September 2024 turut membuktikan kesungguhan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) dalam menyatukan dunia akademik dan industri secara tersusun.

Pelaksanaan IOC secara berfasa dari 2024 hingga 2026 menunjukkan impak yang memberangsangkan. Keyakinan diri, disiplin kerja dan kemahiran keusahawanan pelajar meningkat ketara hasil penglibatan industri secara langsung.

Pada masa sama, pensyarah turut mendapat manfaat melalui latihan sangkutan industri yang membantu memperkukuh kompetensi dan memastikan kaedah pengajaran kekal relevan.

Lebih daripada sekadar program latihan, IOC membina hubungan dua hala yang kukuh antara institusi dan industri. Kerjasama jangka panjang ini memastikan pelajar terdedah kepada persekitaran pekerjaan sebenar dan tampil sebagai graduan yang benar-benar bersedia.

Seiring perkembangan pesat industri kreatif digital, IOC membuktikan TVET kini berteraskan pengalaman sebenar, bukan teori semata-mata.

Dengan sokongan perkongsian teknologi, kepakaran dan komitmen pelbagai pihak, IOC menjadi platform terbaik melahirkan graduan kompeten, versatil dan berdaya saing. Malah, membuka laluan bukan sahaja ke dunia pekerjaan tetapi juga ke arah keusahawanan sekali gus memperkasa pembangunan modal insan negara untuk masa hadapan.

S. NITHIYA
Ketua Program Sijil Multimedia,
Kreatif Pengiklanan dan Pengurus IOC,
Kementerian Pendidikan Tinggi,
Kolej Komuniti Jasin Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×