MALAYSIA hari ini menghadapi paradoks menarik dengan wanita membentuk lebih 55 peratus pelajar universiti, namun penyertaan mereka dalam kepimpinan politik, korporat, keusahawanan dan sektor awam masih jauh di belakang.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hanya 55.6 peratus wanita bekerja, manakala dalam jawatan pembuat keputusan politik, angka mereka merosot kepada 10.8 peratus.
Di sektor korporat, wanita menguasai hanya 30.7 peratus kerusi pengarah dalam 100 syarikat tersenarai dan perwakilan dalam pengurusan senior menurun daripada 40.4 peratus (2023) kepada 39.6 peratus (2024), dijangka 36.2 peratus pada 2025. Statistik ini mencerminkan cabaran ekonomi, budaya dan dasar yang mengekang kepimpinan wanita dan memerlukan intervensi konkrit.
Dalam konteks ini, Program Kecemerlangan Kelestarian Kepimpinan Mahasiswi yang dianjurkan Kelab Wanita Ikon Malaysia, dengan sokongan Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Institut Kepimpinan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), muncul sebagai model intervensi penting.
Program ini melibatkan 50 mahasiswi terpilih daripada Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Kolej Kediaman Siswi dan Persatuan Dalaman UiTM Shah Alam. Peserta bukan sekadar pelajar biasa tetapi individu yang sudah menunjukkan minat dan kapasiti kepemimpinan.
Program ini bukan latihan rutin tetapi pelaburan strategik dalam membina modal insan wanita yang bijak, berani, berwawasan dan cekal menghadapi ketidakpastian. Melalui enam modul utama, program menggabungkan kepimpinan, komunikasi strategik, keusahawanan dan kecerdasan emosi (EQ).
Peserta bukan sahaja belajar teori tetapi juga melalui latihan simulasi, simulasi peranan, pembelajaran interaktif bersama tokoh industri dan pensyarah. Pendekatan ini berakar pada konteks dunia sebenar, selaras konsep Kepimpinan Transformasional yang menekankan inspirasi, teladan, komunikasi autentik, pertimbangan individu dan galakan inovasi.
Kajian menunjukkan wanita sering mempamerkan ciri kepimpinan transformasional lebih kukuh berbanding lelaki, termasuk empati, kemampuan membina pasukan yang kohesif dan kebolehan mendengar serta menghargai pandangan berbeza.
Program ini juga menekankan EQ yang kini menjadi teras kepimpinan berkesan, bukan sebagai kelembutan tetapi kecekapan strategik yang membolehkan pemimpin mengurus emosi, membina hubungan bermakna, mengurus konflik dan memotivasi pasukan secara efektif.
Wanita berkemampuan EQ tinggi membawa kelebihan kompetitif yang nyata dalam organisasi moden, asalkan disokong dengan sistem pementoran yang konsisten dan berasaskan merit.
Mentoring menjadi komponen teras program, dengan Datuk Normaziah sebagai mentor utama yang berkongsi pengalaman autentik serta membimbing peserta dalam Penjenamaan Peribadi dan Halatuju Kehidupan.
Program turut menyediakan sesi pementoran dalam talian hingga Januari 2026 dan penempatan industri untuk pengalaman praktikal. Pra dan pasca penilaian dijangka menunjukkan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta meningkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi, manakala 30 peratus berpotensi memulakan projek keusahawanan dalam tempoh enam bulan selepas tamat program.
Kesimpulannya, program ini bukan sekadar acara berakhir dengan sijil tetapi pelan transformasi kepimpinan wanita dan pembaharuan sosial.
Wanita membawa kebijaksanaan empatik, kemampuan mendengar dan membina konsensus yang inklusif, nilai yang sering terpinggir dalam wacana tradisional.
Kejayaan program perlu direplikasi di universiti lain, dijadikan dasar kerajaan dan sistematik dalam korporat serta sektor awam supaya keberkesanannya berterusan.
Malaysia tidak lagi memerlukan retorik sebaliknya tindakan berasaskan data untuk membina ekosistem kepimpinan yang seimbang, maju dan berjiwa manusiawi.-UTUSAN
NORDIANA IBRAHIM & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










