Ubah persepsi takut ke bilik kaunselor

Ubah persepsi takut ke bilik kaunselor

RAMAI pelajar beranggapan meminta bantuan daripada kaunselor bermakna mereka lemah atau tidak mampu mengawal diri. -JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA pelajar enggan ke bilik kaunselor bukan perkara baharu. Walaupun perkhidmatan kaunseling wujud untuk membantu pelajar mengurus tekanan emosi, akademik dan sosial, namun ramai masih takut, malu atau tidak selesa untuk mendapatkan bantuan.

Persepsi hanya ‘pelajar bermasalah’ sahaja yang pergi ke bilik kaunselor masih menebal bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga ibu bapa dan sesetengah guru.

Hakikatnya, bilik kaunselor adalah ruang selamat untuk berbicara dan mencari penyelesaian, bukan tempat menghukum atau memalukan. 

Namun, kurangnya pendedahan tentang peranan kaunselor membuat pelajar mengaitkan bilik kaunselor dengan tindakan tatatertib, ponteng atau masalah tingkah laku. Mereka jarang mengetahui kaunseling juga membantu dalam motivasi, pembelajaran dan perancangan kerjaya. Kekeliruan ini menyebabkan pelajar enggan mendekati kaunselor walaupun memerlukan bantuan.

Budaya malu dalam masyarakat juga menyumbang kepada ketakutan ini. Ramai pelajar beranggapan meminta bantuan bermakna mereka lemah atau tidak mampu mengawal diri. Akibatnya, tekanan dipendam, berdiam diri dan menjejaskan prestasi akademik serta kesejahteraan emosi dalam jangka panjang. 

Tambahan pula, kekurangan kefahaman tentang etika kerahsiaan kaunselor membuat sesetengah pelajar risau rahsia mereka tidak selamat. Sebenarnya, kaunselor terikat dengan kod etika dan hanya mendedahkan maklumat jika keselamatan pelajar terancam.

Stigma turut diperkuatkan oleh rakan sebaya atau guru yang tanpa sedar menimbulkan tanggapan negatif apabila seorang pelajar ke bilik kaunselor. Untuk mengatasinya, kaunselor perlu menampilkan diri sebagai rakan pembimbing yang mesra dan kehadiran mereka dalam aktiviti sekolah dapat membina hubungan positif dengan pelajar. 

Sekolah pula boleh memperkenalkan kaunseling sejak awal tahun, melalui poster, ceramah dan kempen kesedaran yang perkhidmatan ini terbuka untuk semua, bukan hanya pelajar bermasalah.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan memberi sokongan dengan membantu anak-anak memahami kaunseling adalah bentuk bantuan psikologi, bukan tanda kelemahan. 

Dengan perubahan persepsi ini, bilik kaunselor boleh menjadi ruang untuk menyembuhkan, bukan menakutkan.

Apabila pelajar mula melihat kaunseling sebagai langkah keberanian, sistem sokongan psikologi sekolah dapat berfungsi sepenuhnya lalu dapat  mewujudkan komuniti sekolah yang sihat, empati dan saling menyokong.-UTUSAN

 

CHE RAHMAH AHMAD

Parit Sulong,

Batu Pahat

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×