TERMINAL bas suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan bandar. Deretan kedai kecil, pekerja terminal, pemandu serta penumpang yang keluar masuk saban hari menjadikan kawasan ini hidup, meriah dan bergerak tanpa henti.
Namun hari ini, banyak terminal di bandar-bandar utama kelihatan lengang dan tidak lagi menjadi tumpuan masyarakat, apatah lagi fungsinya sebagai pusat mobiliti awam.
Perubahan ketara dapat dilihat dalam pilihan mobiliti masyarakat. Pemilikan kenderaan persendirian semakin meningkat, didorong kemampuan kewangan lebih baik, akses pembiayaan mudah dan kecenderungan terhadap perjalanan yang lebih fleksibel.
Pendaftaran baharu kenderaan persendirian juga terus meningkat, menunjukkan rakyat lebih selesa bergerak menggunakan kereta dan motosikal berbanding pengangkutan awam. Akibatnya, bas bukan lagi mod utama perjalanan, sekali gus mengurangkan tumpuan terhadap terminal.
Fenomena pasca pandemik turut mempercepat perubahan ini. Rutin bekerja dari rumah, gaya hidup lebih digital serta keutamaan perjalanan terus dari pintu ke pintu menjadikan terminal kurang relevan sebagai titik permulaan perjalanan harian.
Penggunaan bas tempatan juga menurun apabila laluan dihentikan, kekerapan dikurangkan dan masa operasi disingkatkan kerana tidak lagi mencapai jumlah penumpang minimum.
Kekurangan operasi waktu siang menyebabkan terminal kelihatan kosong, manakala kehadiran penumpang hanya memuncak pada awal pagi atau lewat malam untuk perjalanan bas ekspres.
Pertumbuhan e-hailing turut merubah ekosistem perjalanan. Pengguna boleh bergerak terus ke destinasi tanpa perlu singgah ke terminal, menjadikan terminal hilang peranan tradisi sebagai permulaan dan penamat perjalanan.
Trend ini juga menjejaskan sektor teksi, sekali gus mengurangkan aktiviti sokongan yang dahulunya menyumbang keriuhan terminal.
Dalam masa sama, keadaan fizikal banyak terminal tidak lagi memenuhi keperluan masyarakat moden. Ruang menunggu yang panas, pencahayaan malap, kerusi rosak, tandas tidak terjaga serta kawalan keselamatan lemah menimbulkan rasa kurang selamat dan tidak selesa.
Kemerosotan terminal turut memberi kesan langsung terhadap ekonomi mikro setempat. Apabila jumlah pengguna merosot, kedai kecil tidak lagi mampu bertahan dan semakin banyak lot perniagaan kosong, lalu suasana menjadi muram tidak bernyawa.
Faktor lokasi turut memainkan peranan. Ada terminal yang asalnya strategik, kini terpinggir akibat pertumbuhan bandar berpindah ke kawasan baharu. Ketiadaan integrasi dengan pusat komersial, pejabat, laluan pejalan kaki, stesen basikal atau zon e-hailing menjadikan terminal terasing daripada jaringan pergerakan moden. Ketika banyak negara mengamalkan pembangunan berorientasikan transit (TOD), pelaksanaannya di Malaysia masih tidak konsisten.
Negara lain berjaya menukar terminal lama menjadi hab mobiliti moden yang menggabungkan bas mikro, e-hailing, basikal elektrik, parkir dan naik pengangkutan awam serta ruang sosial mesra komuniti.
Untuk mengembalikan peranan terminal, beberapa langkah penting perlu dipertimbangkan antaranya penyelenggaraan berterusan, pencahayaan dan keselamatan dipertingkat, paparan maklumat masa nyata, integrasi zon e-hailing teratur, pengenalan perkhidmatan bas mikro serta pembaharuan ruang komersial melalui sewaan fleksibel yang menyokong peniaga kecil. Dengan pelaksanaan terancang, terminal boleh kembali menjadi nadi mobiliti bandar.
Jika diberi perhatian sewajarnya, terminal boleh bangkit semula sebagai ruang yang menyatukan komuniti, menghidupkan ekonomi setempat dan mengembalikan denyut kehidupan bandar.-UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Pensyarah Kanan,
Kumpulan Penyelidikan Turapan
dan Pengangkutan,
Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










