Reformasi subsidi untuk keperluan rakyat atau negara?

Reformasi subsidi untuk keperluan rakyat atau negara?

REFORMASI subsidi bukan untuk meminggirkan rakyat tetapi memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan sambil mengekalkan kestabilan fiskal negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap ekonomi semasa, isu subsidi dan bantuan kerajaan terhadap bahan asas kembali menjadi perhatian utama.

Dari perspektif ekonomi, isu ini bukan sekadar berkaitan harga petrol atau minyak masak tetapi juga melibatkan keberkesanan dasar fiskal, agihan pendapatan dan kelestarian ekonomi negara dalam jangka panjang.

Di Malaysia, subsidi telah lama menjadi sebahagian daripada kontrak sosial ekonomi antara kerajaan dan rakyat. Ia membantu menstabilkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta memberi ruang kepada isi rumah berpendapatan rendah menikmati taraf hidup lebih baik.

Namun, dari kaca mata ekonomi, subsidi yang terlalu luas turut membawa kesan sampingan. Apabila tidak disasarkan dengan tepat, ketirisan fiskal berlaku apabila golongan berpendapatan tinggi turut menikmati manfaat yang sepatutnya untuk golongan miskin. Ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar sosial, malah memberi tekanan besar terhadap belanjawan negara.

Menurut laporan Kementerian Kewangan, perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial kerajaan mencecah hampir RM80 bilion pada 2024. Angka ini sangat besar berbanding hasil negara. Jika trend ini berterusan tanpa penstrukturan semula, hanya menyebabkan ruang fiskal untuk dasar pembangunan lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur akan semakin sempit.

Kerajaan mengambil langkah reformasi subsidi bersasar iaitu dengan pendekatan yang menyalurkan bantuan terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Penjimatan daripada penstrukturan ini boleh digunakan untuk memperkukuh jaring keselamatan sosial, termasuk bantuan tunai langsung dan program peningkatan kemahiran bagi golongan B40.

Secara makroekonomi, pengurangan subsidi mungkin meningkatkan harga beberapa barangan keperluan dalam jangka pendek. Namun, ia tidak semestinya negatif sepenuhnya. Dengan subsidi bersasar, kerajaan dapat menyalurkan bantuan tunai lebih tepat dan meningkatkan kecekapan agihan sumber.

Dalam jangka pendek, golongan berpendapatan sederhana mungkin terasa kesannya. Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar boleh meningkatkan kos pengangkutan dan harga barangan runcit. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan mekanisme kawalan harga dan bantuan sementara untuk mengurangkan impak inflasi terhadap rakyat.

Di kebanyakan negara membangun, isu subsidi menjadi ujian politik dan moral kepada kerajaan. Ia mudah dijadikan modal populis kerana melibatkan wang rakyat. Namun, ahli ekonomi melihat dari sudut lebih luas bahawa keberlanjutan fiskal adalah kunci kestabilan jangka panjang.

Jika kerajaan terus menanggung subsidi besar tanpa hasil negara seimbang, defisit fiskal akan meningkat dan boleh menjejaskan penarafan kredit negara.

Sebaliknya, subsidi yang disusun semula dengan baik dapat meningkatkan kecekapan fiskal, mengurangkan pembaziran dan menggalakkan rakyat menyesuaikan corak penggunaan dengan lebih berhemat.

Perbahasan mengenai subsidi tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut politik tetapi perlu difahami melalui kanta ekonomi rasional.

Subsidi bersasar adalah langkah ke arah pembaharuan fiskal yang lebih mampan, dengan setiap ringgit perbelanjaan awam memberi kesan maksimum kepada kesejahteraan rakyat.

Ekonomi yang sihat ialah asas kepada kesejahteraan jangka panjang seluruh rakyat Malaysia.-UTUSAN

 

MOHD. KHAIRI ISMAIL
Felo Bersekutu di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya & Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×