Realiti penipuan jati yang kita tidak sedar

Realiti penipuan jati yang kita tidak sedar

KAYU jati sudah lama terkenal sebagai bahan premium dalam pembuatan perabot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM pasaran perabot masa kini, pengguna semakin arif dalam memilih barangan rumah yang tahan lama, menarik serta setimpal dengan harga. Namun di sebalik kecenderungan ini, wujud isu yang semakin meresahkan iaitu penjualan perabot yang dikatakan daripada kayu jati tetapi sebenarnya menggunakan kayu getah atau bahan campuran. 

Kayu jati sudah lama terkenal sebagai bahan premium dalam pembuatan perabot. Ia berasal daripada pokok Tectona grandis yang banyak terdapat di Indonesia, Myanmar dan Thailand. Keistimewaan jati terletak pada ketahanan tinggi terhadap anai-anai, daya tahan perubahan cuaca serta keindahan urat kayunya yang unik. Warna keemasannya menjadikan jati pilihan utama bagi mereka yang inginkan perabot eksklusif dan tahan lama. Tidak hairanlah ia sering dijual pada harga tinggi, malah dianggap suatu bentuk pelaburan jangka panjang.

Sebaliknya, kayu getah diperoleh daripada pokok Hevea brasiliensis yang banyak ditanam di Malaysia. Kayu ini lebih murah, mudah dibentuk dan banyak digunakan dalam industri perabot. Dengan kemasan moden seperti varnis atau cat tertentu, kayu getah mampu kelihatan hampir sama seperti jati. Persamaan inilah yang membuka ruang kepada penjual tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan pengguna yang kurang arif, sekali gus memperdayakan mereka agar mempercayai perabot tersebut diperbuat daripada jati tulen.

Pada hakikatnya, perbezaan antara kedua-dua kayu ini lebih ketara apabila belum melalui proses kemasan. Kayu jati biasanya lebih berat, lebih keras dan mempunyai urat kayu yang lebih halus serta semula jadi. Kayu getah pula lebih ringan, berwarna kekuningan dan kurang tahan terhadap serangan serangga. Namun, perbezaan ini menjadi kabur apabila perabot sudah disalut dengan lapisan moden seperti salutan laminasi atau kemasan semburan. Di sinilah manipulasi berlaku apabila sesetengah peniaga mengambil kesempatan terhadap ketidaktahuan pengguna.

Taktik penipuan dalam industri perabot sebenarnya bukan perkara baharu. Ada penjual yang menggunakan istilah seperti ‘jati Siam’, ‘jati kampung’ atau ‘jati tempatan’ untuk menaikkan nilai jualan.

Hakikatnya, tiada jati tempatan yang benar-benar menyerupai jati asli dari Indonesia atau Myanmar. Ada juga yang menjual perabot campuran iaitu rangka diperbuat daripada kayu getah, manakala bahagian luar dilapisi nipis jati. Perabot sedemikian tetap dipasarkan sebagai ‘jati asli’, sedangkan hanya lapisan luar sahaja yang benar-benar jati.

Kekeliruan pengguna bertambah apabila harga dijadikan petunjuk utama. Ada kedai yang menjual perabot kayu getah pada harga hampir menyamai jati dengan alasan ‘reka bentuk premium’ atau ‘kualiti eksport’. 

Pengguna yang tidak membuat semakan mudah terpedaya dan akhirnya menanggung kerugian apabila perabot mula retak, mengecut atau diserang anai-anai selepas beberapa tahun.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) wajar memperketatkan garis panduan pelabelan perabot. Penjual perlu menyatakan dengan jelas jenis kayu yang digunakan serta komposisinya. Pengguna pula harus menjadi lebih peka dan membuat sedikit penyelidikan sebelum membeli, apatah lagi bagi pembelian bernilai tinggi.

Pendidikan pengguna amat penting dalam membina pasaran perabot yang lebih beretika. Maklumat kini mudah dicapai melalui artikel perbandingan kayu, video demonstrasi atau forum pengguna. Sikap berhati-hati dan berinformasi mampu mengelakkan pembeli daripada menjadi mangsa penipuan.

Namun, tidak wajar juga semua peniaga disalahkan. Ramai pengusaha perabot tempatan memasarkan kayu getah secara telus sebagai alternatif mesra alam. Kayu getah sebenarnya mempunyai potensi besar jika diproses dengan baik dan tidak perlu dilabel sebagai jati untuk kelihatan bernilai.

Kesimpulannya, isu jati palsu berpunca daripada dua faktor utama iaitu ketidakjujuran sesetengah peniaga dan ketidakpekaan pengguna. Dalam apa jua transaksi, kejujuran ialah asas kepercayaan manakala pengguna perlu bertindak bijak dan teliti. Sama ada jati atau kayu getah, nilai sebenar perabot bergantung pada kualiti pembuatan serta ketelusan dalam penjualannya.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Pekan, Pahang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×