PERNAHKAH kita bertanya, adakah undang-undang pada hari ini cukup adil? Adakah undang-undang kita mencakupi seluruh aspek moral? Atau, pernahkah kita termangu sejenak dan menyoal diri, siapakah yang berhak menentukan undang-undang itu adil? Majoriti atau minoriti?
Sebelum soalan ini dikupas, dengan terbuka hati menyatakan sesiapa sahaja boleh mengkritik idea saya. Namun begitu, eloklah kiranya jika ia disampaikan dengan fakta dan logik dan bukannya bermain dengan emosi semata-mata.
Pertama sekali, masyarakat ialah pencipta undang-undang. Agak ironi apabila ciptaan masyarakat, yakni undang-undang pada akhirnya membentuk manusia. Terdapat lambakan teori yang menyatakan undang-undang itu bersifat moral. Para pelakar definisi ini berhujah moral diambil dari tindak-tanduk majoriti masyarakat.
Namun, jika undang-undang diukur berdasarkan pola laku majoriti, bagaimanakah dengan nasib minoriti? Di sinilah saya boleh ubah naratif bahawa undang-undang bukanlah bersifat moral tetapi seolah pengawal norma.
Norma bermakna persetujuan sementara masyarakat terhadap sesebuah kelakuan. Apabila majoriti bersetuju yang bersikap dengan cara A ialah cara yang baik, maka itu ialah norma, tetapi norma boleh berubah. Apabila minoriti tidak bersetuju, mereka akan berdemonstrasi dan membentuk undang-undang. Pendek kata, majoriti mencipta undang-undang namun minoriti akan membentuk undang-undang.
Maka menjawab soalan tunjang, adakah undang-undang kita pada hari ini cukup adil? Mungkin tidak. Namun setidaknya, pertikaian antara majoriti dan minoriti tadi mampu menghasilkan produk undang-undang yang memuaskan hati semua pihak.-UTUSAN
MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL
Pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-Undang (TSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










