TVET lonjak tenaga mahir muda berbakat negara

TVET lonjak tenaga mahir muda berbakat negara

KEBERHASILAN transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bergantung kepada pengajar yang berkompeten, berdaya inovasi dan berjiwa pendidik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) Malaysia kini berada di ambang transformasi besar. Dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.1 peratus pada 2024, sektor ini terbukti menjadi tunjang penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri tempatan dan global.

Namun, kejayaan ini bergantung pada komitmen pengajar TVET yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga membentuk karakter, memupuk kemahiran insaniah dan menghubungkan dunia akademik dengan realiti industri.

Pertumbuhan sektor TVET semakin memberangsangkan dengan peningkatan enrolmen daripada 407,000 pelajar pada 2023 kepada 423,267 pelajar di 1,398 institusi pada 2024.

Malah, 53.56 peratus lepasan sekolah menengah memilih TVET sebagai laluan pertama, menunjukkan perubahan positif terhadap persepsi pendidikan vokasional. TVET kini diiktiraf sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju, bukan lagi pilihan kedua selepas akademik.

Komitmen kerajaan turut terbukti melalui peruntukan RM6.8 bilion dalam Belanjawan serta tambahan RM200 juta bagi memperkukuh sektor ini.

Pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan dan kurikulum, malah menyokong hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab TVET terkemuka di Asia Tenggara.

Fokus turut diberikan kepada keselarasan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) agar graduan mampu bersaing dalam ekonomi digital global.

Walau bagaimanapun, pelbagai cabaran masih perlu ditangani, termasuk struktur pentadbiran yang berpecah, kekangan kompetensi digital pengajar dan tanggapan awam yang masih menilai TVET sebagai pilihan kedua.

Kajian menunjukkan penguasaan pedagogi moden serta kemahiran komunikasi yang tidak sekata menjejaskan kualiti pengajaran. Maka, pengajar TVET perlu memperkukuh keupayaan dalam teknologi, pedagogi dan kandungan kurikulum (TPACK) supaya pembelajaran lebih interaktif dan relevan.

Dalam dunia pekerjaan yang kian kompleks, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi. Majikan kini menuntut pekerja yang memiliki kemahiran insaniah, daya adaptasi dan keupayaan berfikir kritikal. Oleh itu, pendekatan seperti Pedagogik Kemahiran Insaniah Gunaan perlu dipraktikkan bagi memberi pengalaman pembelajaran sebenar, membolehkan pelajar mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah secara praktikal.

Selain itu, pengajaran berasaskan kompetensi (CBE) dan pendekatan Understanding by Design (UbD) perlu diterapkan.

Melalui CBE, kejayaan pelajar diukur berdasarkan keupayaan menunjukkan penguasaan kemahiran sebenar, manakala UbD membantu pengajar merancang pembelajaran berpaksikan hasil yang jelas dan berimpak. Pendekatan ini melatih pelajar bergerak mengikut kadar kemampuan sambil membina keyakinan dan kemahiran sebenar.

Hubungan erat dengan industri juga penting bagi memastikan kurikulum kekal relevan. Latihan industri, projek bersama dan mentor profesional memberi peluang pelajar mempraktikkan ilmu dalam konteks sebenar, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran mereka.

Pengajar berperanan sebagai jambatan antara institusi dan industri, memastikan setiap pelajar memahami kaitan antara teori dan amalan di tempat kerja.

Akhirnya, keberhasilan transformasi TVET bergantung kepada pengajar yang berkompeten, berdaya inovasi dan berjiwa pendidik. Mereka perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, mengikuti perkembangan teknologi serta aktif dalam penyelidikan terapan.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH
& SARUDIN ROHSELI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau & Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Latihan Vokasional Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×