Sediakan statistik yang telus, berkualiti

Sediakan statistik yang telus, berkualiti

KEPERCAYAAN terhadap data rasmi perlu dipupuk. Statistik berkualiti bukan sekadar tepat tetapi juga telus dan bebas manipulasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP lima tahun, dunia menyambut Hari Statistik Sedunia bagi menghargai peranan besar data dalam kehidupan manusia. Tahun ini, temanya ‘Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua’ amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia yang semakin beralih kepada era digital.

Data boleh disifatkan sebagai kompas kemajuan, namun hanya berguna jika arahnya tepat, begitu juga data. Jika maklumat yang digunakan salah, keputusan yang dibuat juga boleh tersasar.

Tema tahun ini juga menegaskan data bukan milik segelintir pihak tetapi milik semua. Rakyat boleh memanfaatkan data untuk pelbagai tujuan, contohnya seperti peniaga meneliti harga pasaran, pelajar menggunakan data sosial dan ekonomi untuk tugasan, manakala ibu bapa menyemak bacaan Indeks Kualiti Udara (IKU) sebelum beriadah bersama keluarga. Hakikatnya, statistik amat dekat dengan kehidupan harian kita.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan rakyat mengakses maklumat rasmi negara. Melalui portal eStatistik, StatsDW dan Open Data, orang ramai boleh mendapatkan data berkaitan ekonomi, penduduk, pendidikan serta alam sekitar dengan mudah dan percuma. Malangnya, masih ramai yang belum memanfaatkan kemudahan ini sedangkan ia boleh membantu membuat keputusan lebih tepat dalam kehidupan seharian.

Contohnya, usahawan muda boleh menggunakan data trend pengguna untuk menilai potensi pasaran, manakala aktivis alam sekitar boleh menggunakan data pencemaran udara bagi merancang kempen kesedaran. Semua ini boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik di laman www.dosm.gov.my.

Namun, cabaran seperti jurang digital dan literasi data masih perlu ditangani agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat ini. Dalam masa yang sama, kepercayaan terhadap data rasmi perlu dipupuk. Statistik berkualiti bukan sekadar tepat tetapi juga telus dan bebas manipulasi.

Hari Statistik Sedunia mengingatkan kita bahawa data bukan sekadar angka tetapi nadi pembangunan negara. Marilah kita bersama memanfaatkan data berkualiti yang disediakan oleh DOSM agar Malaysia melangkah ke masa depan berasaskan ilmu, bukti dan keyakinan.-UTUSAN

DR. NURUL NISA’ KHAIROL AZMI & DR. NURUL LATIFFAH ABD. RANI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN