PADA awal Oktober lalu, negara dikejutkan dengan kes rogol bawah umur yang melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka. Kes ini lebih membimbangkan kerana perbuatan jenayah dilakukan secara berkumpulan oleh beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dirakam menggunakan telefon bimbit.
Mangsa dalam kes ini berusia bawah 16 tahun. Menurut seksyen 375(g) Kanun Keseksaan (Akta 574), jenayah rogol berlaku sekiranya seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan perempuan bawah 16 tahun, sama ada dengan kerelaan mangsa atau tidak.
Sekiranya rogol dilakukan tanpa kerelaan mangsa, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta dikenakan sebatan, menurut seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Kes ini melibatkan dua pelajar senior sebagai pelaku dan dua lagi sebagai perakam. Oleh itu, jenayah rogol secara berkumpulan (gang rape) tertakluk di bawah seksyen 375B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, sekiranya mahkamah mendapati pendakwaan berjaya dibuktikan.
Sebagai contoh, dalam kes Muhammad Syazani Azmani lwn. Pendakwa Raya (2024) MLJU 3094, empat tertuduh dihukum penjara antara 10 hingga 12 tahun atas jenayah rogol berkumpulan.
Namun, memandangkan tertuduh adalah kanak-kanak, Mahkamah Kanak-Kanak mempunyai bidang kuasa mengendalikan pertuduhan mereka mengikut seksyen 11(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Selain itu, media dilarang mendedahkan identiti, alamat atau institusi pendidikan kanak-kanak tertuduh, sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 15(1) dan 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Rasionalnya, kanak-kanak memerlukan perlindungan kerana ketidakmatangan fizikal, mental dan emosi mereka. Keputusan mahkamah dalam kes Pendakwa Raya lwn. K M [A Child] and Anor (2009) MLJU 1672 menegaskan prinsip ini dengan mengekalkan kerahsiaan identiti tertuduh bawah umur.
Walaupun rogol bawah umur diiktiraf dalam Kanun Keseksaan dengan hukuman berat, namun undang-undang Malaysia turut menitikberatkan mekanisme perlindungan bagi tertuduh kanak-kanak.
Ini memastikan keseimbangan keadilan dapat dikekalkan, di mana hak mangsa dan tertuduh diutamakan tanpa mengabaikan perlindungan terhadap pihak yang masih di bawah umur.-UTUSAN
MUHAMMAD AIMAN FIRDAUS KAMAL NOR AZMAN
Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)










