KAEDAH pengajaran tidak lagi boleh bersifat sehala dalam era pendidikan masa kini. Guru bukan lagi satu-satunya sumber ilmu sebaliknya menjadi fasilitator yang memimpin proses pembelajaran secara lebih terbuka dan kolaboratif.
Antara pendekatan yang semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara ialah co-teaching (pengajaran bersama) yang menggabungkan dua tenaga pengajar dalam satu bilik darjah untuk mencapai matlamat pembelajaran yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Konsep ini relevan kerana selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh. Kaedah ini juga menyokong dasar Pendidikan Inklusif di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi peluang kepada murid berkeperluan khas belajar bersama rakan sebaya dalam arus perdana.
Pelaksanaan pendekataan ini tidak bersifat tunggal. Terdapat beberapa model yang boleh disesuaikan mengikut keperluan bilik darjah:
• Seorang guru mengajar manakala seorang lagi memerhati tingkah laku, penglibatan dan pencapaian murid untuk tujuan refleksi serta penambahbaikan PdP.
• Seorang guru menerangkan isi pelajaran manakala guru kedua membantu murid yang memerlukan sokongan tambahan secara individu.
• Kelas dibahagikan kepada dua kumpulan kecil dengan guru mengajar kandungan yang sama secara serentak bagi memastikan interaksi lebih rapat.
– Murid bergerak mengikut stesen aktiviti tertentu dan setiap guru bertanggungjawab terhadap satu stesen yang berbeza.
• Seorang guru memberi tumpuan kepada kumpulan besar manakala seorang lagi melaksanakan aktiviti pengayaan atau pemulihan dengan kumpulan kecil.
• Kedua-dua guru mengajar secara bersama dalam keseluruhan sesi PdP, saling melengkapkan dan menyokong antara satu sama lain.
Melalui pelbagai model ini, guru berpeluang mempelbagaikan strategi PdP mengikut tahap keupayaan, minat dan gaya pembelajaran murid.
Di Malaysia, pengajaran bersama diaplikasikan dalam beberapa program utama seperti Program Pendidikan Inklusif (PPI), Program Pemulihan Khas, serta Program Literasi dan Numerasi (LINUS).
Di sekolah menengah pula, pendekatan ini digunakan dalam Program Bimbingan Akademik, Program Pecutan Akhir SPM dan Program Intervensi Murid Berisiko (RMT).
Beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti terbuka seperti OUM turut memperkenalkan teknik ini dalam kursus latihan guru dan pendidikan profesional bagi membiasakan bakal pendidik dengan kaedah kolaboratif ini.
Bahkan teknik ini dapat membina latihan empati, komunikasi dan kepimpinan profesional dalam kalangan guru pelatih.
Pendekatan pengajaran bersama memberi banyak manfaat kepada guru dan murid. Antara yang paling ketara ialah peningkatan kualiti PdP. Dengan dua guru di dalam kelas, tumpuan terhadap murid lebih seimbang, guru boleh menangani pelbagai tahap keupayaan tanpa mengabaikan mana-mana pelajar. Murid lemah mendapat perhatian tambahan, manakala murid cemerlang terus digalakkan untuk meneroka idea baharu.
Bagi guru pula, pengajaran bersama membuka ruang pembelajaran profesional yang luas. Ia memberi peluang kepada guru untuk menilai gaya pengajaran sendiri, bertukar strategi dengan rakan sejawat serta membina hubungan kerja yang positif.
Budaya kolaboratif ini meningkatkan tahap profesionalisme dan mengurangkan rasa terasing dalam kalangan pendidik.
Namun, pelaksanaan pengajaran bersama bukan tanpa cabaran. Antara halangan utama ialah kekangan masa untuk perancangan bersama, perbezaan gaya mengajar dan beban kerja tambahan.
Ada kalanya guru masih terikat dengan budaya bekerja secara individu menjadikan kerjasama penuh agak sukar untuk dilaksanakan. Sokongan pentadbiran sekolah juga memainkan peranan besar dalam memastikan keberkesanan kaedah ini.
Untuk mengatasi cabaran ini, latihan profesional yang berterusan dan jadual perancangan bersama perlu diberi penekanan. Pihak pentadbir wajar menyediakan masa khusus untuk guru merancang PdP bersama dan berkongsi hasil refleksi secara terbuka.
Bagi memastikan pendekatan baharu ini menjadi budaya dalam sistem pendidikan negara, beberapa langkah penambahbaikan boleh dipertimbangkan:
• Menyediakan modul latihan pengajaran bersama dalam program pembangunan profesional guru.
• Menjadikan pengajaran bersama sebagai salah satu strategi rasmi dalam pelaksanaan PdPc berimpak tinggi di sekolah.
• Menggalakkan komuniti pembelajaran profesional (PLC) yang menekankan refleksi bersama antara guru.
• Memberi insentif kepada sekolah yang berjaya melaksanakan amalan pengajaran bersama dengan berkesan.
Apabila budaya kolaborasi ini benar-benar terjalin, murid bukan sahaja mendapat pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna tetapi guru juga akan berkembang sebagai tenaga pendidik yang lebih terbuka, berdaya saing dan reflektif.
Pengajaran bersama ialah manifestasi sebenar kepada semangat Guru Pembina Negara Bangsa. Ia mencerminkan komitmen guru untuk bekerjasama demi kemenjadian murid.
Dalam era pendidikan abad ke-21 yang menuntut kepelbagaian, fleksibiliti dan kreativiti, pendekatan ini hadir sebagai jambatan yang menghubungkan guru dengan murid secara lebih manusiawi dan profesional.
Apabila dua minda bergabung dalam satu bilik darjah, ilmu bukan sahaja disampaikan tetapi dihidupkan menjadikan pembelajaran satu pengalaman yang benar-benar bermakna.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










