Lindungi pekerja gig bumiputera pasca Belanjawan

Lindungi pekerja gig bumiputera pasca Belanjawan

MASIH ramai pekerja gig bumiputera yang berdepan kekangan, sama ada kerana pendapatan tidak stabil, kurangnya literasi digital atau akses maklumat yang terbatas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA intipati Belanjawan 2026 ialah perluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan peruntukan tambahan khusus untuk golongan pekerja sendiri, termasuk mereka dalam sektor gig.

Kerajaan juga mengumumkan geran padanan caruman di mana sebahagian caruman pekerja akan ditampung kerajaan serta insentif khas untuk pendaftaran baharu.

Inisiatif ini wajar dipuji kerana ia menandakan pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan pekerja gig, di samping usaha memastikan mereka tidak terus terpinggir daripada jaringan keselamatan sosial negara.

Namun demikian, kejayaan dasar ini sangat bergantung kepada tahap penyertaan sebenar di lapangan. Masih ramai pekerja gig bumiputera yang berdepan kekangan untuk mendaftar, sama ada kerana pendapatan tidak stabil, kurangnya literasi digital atau akses maklumat yang terbatas.

Dalam masa sama, Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 (RUU Gig) dibentangkan sebagai pelengkap kepada belanjawan. RUU ini menetapkan kontrak servis yang lebih jelas, mewajibkan pendaftaran caruman melalui platform dan menubuhkan tribunal khas untuk menyelesaikan pertikaian.

Ini perkembangan positif kerana memberi landasan undang-undang untuk melindungi pekerja gig. Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. RUU ini tidak menetapkan kadar bayaran minimum dan peranan penyedia platform masih terbatas kepada menyalurkan potongan caruman, tanpa kewajipan untuk turut sama menanggung kos perlindungan.

Hakikatnya, tanpa tanggungjawab yang lebih seimbang, pekerja gig berisiko menanggung beban tambahan.

Oleh itu, penyedia platform perlu dilihat sebagai rakan kongsi sosial, bukan sekadar pengantara antara pelanggan dan pekerja. Tanggungjawab mereka melangkaui aspek teknikal pengurusan aplikasi.

Mereka boleh memainkan peranan lebih besar dengan berkongsi sebahagian kos caruman sosial, menyediakan kontrak yang adil dan telus serta mewujudkan mekanisme aduan dalaman yang lebih mesra pekerja.

Di samping itu, sokongan kepada pembangunan kapasiti pekerja gig bumiputera, seperti latihan literasi kewangan dan digital, penting untuk meningkatkan tahap kesediaan mereka. Jika penyedia platform proaktif, barulah Belanjawan 2026 dapat diterjemahkan kepada perlindungan yang benar-benar bermakna.

Belanjawan dan RUU hanyalah permulaan. Untuk memperkasakan perlindungan sosial, tiga pihak perlu bergerak seiring.

Kerajaan boleh menambah baik dasar dengan menetapkan kadar bayaran minimum bagi kategori kerja tertentu serta memberi insentif kepada penyedia platform yang melaksanakan perlindungan tambahan. Penyedia platform pula harus mengimbangi keuntungan dengan tanggungjawab sosial. Pekerja gig sendiri perlu lebih peka terhadap hak mereka dan mengambil peluang untuk menyertai skim perlindungan yang disediakan.

Pandangan ini turut berasaskan penyelidikan yang sedang saya jalankan melalui geran Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 3.0, bertajuk Faktor Penyertaan dan Cabaran dalam Pelaksanaan Polisi Perlindungan Sosial Pekerja Gig Bumiputera; Cadangan Penambahbaikan ke arah Kesejahteraan Sosioekonomi Bumiputera.

Dapatan awal menunjukkan dasar dan belanjawan sudah menyediakan asas tetapi pelaksanaan memerlukan komitmen bersama antara kerajaan, penyedia platform dan pekerja itu sendiri.

Akhirnya, Belanjawan 2026 membuka ruang harapan baharu kepada pekerja gig bumiputera. Namun, harapan itu hanya akan menjadi kenyataan apabila perlindungan sosial benar-benar dilaksanakan secara inklusif dan mampan, dengan setiap pihak memainkan peranan sewajarnya.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SITI SARA IBRAHIM & NAZATUL AQILAH SUTRISNO
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×