Jenamakan semula maahad tahfiz persendirian

Jenamakan semula maahad tahfiz persendirian

PIHAK berkuasa agama perlu menilai semula penjenamaan institusi tahfiz supaya mencerminkan saiz, struktur dan tahap pengurusan sebenar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, dimaklumkan terdapat lebih 130 buah maahad tahfiz persendirian di seluruh negeri. Namun, tiada maklumat jelas mengenai jumlah pelajar dan tenaga pengajar keseluruhannya.

Jika dinilai dari segi saiz dan kualiti, timbul persoalan sama ada semua institusi itu layak menggunakan nama ‘maahad’, sedangkan di sesetengah negara, istilah itu digunakan dengan lebih tepat mengikut tarafnya.

Justeru, wajar pihak berkuasa agama negeri atau Majlis Agama Islam menilai semula penjenamaan institusi-institusi tahfiz ini agar nama yang digunakan mencerminkan saiz, struktur dan tahap pengurusan sebenar.

Tidak semestinya semua perlu digelar maahad hanya kerana bunyinya lebih Arab atau kelihatan gah. Dalam bahasa Melayu, maahad membawa maksud pusat atau tempat, manakala kuliah pula lebih dekat dengan makna maktab atau kolej.

Klasifikasi yang jelas boleh diwujudkan sebagai panduan umum. Contohnya, institusi yang menampung lebih 500 pelajar dan mempunyai sekurang-kurangnya 20 tenaga pengajar boleh dinamakan institut tahfiz.

Sementara bagi kapasiti antara 200 hingga 500 pelajar, boleh digelar kuliah tahfiz, manakala yang menampung antara 80 hingga 200 pelajar sesuai dikenali sebagai madrasah tahfiz. Jika jumlah pelajar di bawah 80 orang, maka wajar dinamakan pondok tahfiz.

Klasifikasi ini tidak harus kekal statik, sebaliknya boleh dinaik taraf apabila memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa agama.

Melalui pengkelasan yang teratur membolehkan agihan bantuan kewangan daripada sumber zakat, Baitulmal atau kerajaan negeri dapat disalurkan secara lebih adil mengikut taraf institusi.

Selain itu, wajar dipertimbangkan agar syarat penggunaan tanah tidak terlalu ketat, khususnya bagi kategori pertanian yang diwakafkan untuk tujuan pendidikan Islam. Pendekatan ini akan memperkukuh sistem tahfiz persendirian serta memastikan setiap institusi berkembang dengan identiti dan taraf yang selaras dengan fungsi sebenarnya.-UTUSAN

TEROPONG DO RE ME
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN