Bina generasi berintegriti di Malaysia

Bina generasi berintegriti di Malaysia

KELEMAHAN sistem, prosedur dan tiada jati diri menjadi punca perbuatan rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-58, sambil menekankan kepentingan integriti melalui inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC). Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi membina Malaysia yang bersih, telus dan bermaruah.

Rasuah bukan fenomena baharu dalam sejarah peradaban manusia. Ia ibarat racun yang mampu melemahkan pentadbiran, meruntuhkan tamadun dan menjejaskan keyakinan pelabur luar.

Kelemahan sistem, prosedur dan ketiadaan jati diri individu sering menjadi punca perbuatan rasuah berlaku. Amalan ini bukan sahaja melemahkan jentera kerajaan tetapi juga memberi kesan negatif kepada masyarakat umum. Oleh itu, kesedaran mengenai bahaya ketirisan dan rasuah perlu diterapkan secara menyeluruh.

Sistem pendidikan holistik berperanan penting dalam membina kesedaran ini. Aktiviti kurikulum dan kokurikulum boleh menjana kemahiran insaniah, membentuk insan seimbang serta kompetitif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijadikan asas perjuangan membanteras rasuah. Kelab Rukun Negara di sekolah boleh diperluaskan untuk melahirkan generasi yang memahami bahaya rasuah.

Tenaga pendidik memainkan peranan besar dalam menyampaikan literasi antirasuah. Kursus Integriti dan Anti Rasuah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi peluang kepada mahasiswa memahami konsep, nilai integriti dan memerangi jenayah rasuah, selaras dengan matlamat Pelan Anti-Rasuah Nasional (NPRA).

Penerapan nilai murni, integriti dan budaya antirasuah perlu menjadi teras pendidikan negara agar generasi muda tidak terjebak dalam kancah jenayah.

Selain pendidikan formal, institusi kekeluargaan juga merupakan platform awal terbaik untuk menyemai sikap bencikan rasuah. Program berimpak tinggi yang menekankan kemenjadian pelajar harus dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya berfokus pada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi untuk melahirkan generasi berjiwa kental.

Sejarah membuktikan pereputan dalaman dan mengabaikan kesepaduan tekad membawa kepada keruntuhan kerajaan. Maruah dan kedaulatan negara perlu digilap agar Malaysia terus dikenali sebagai bangsa bertamadun, berintegriti dan berwawasan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×