Adab dulu, baru ilmu

Adab dulu, baru ilmu

ADAB bukan sekadar sopan santun tetapi mencakupi nilai hormat, tanggungjawab, rendah hati, kejujuran dan kebijaksanaan dalam berinteraksi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kehilangan adab semakin ketara dalam masyarakat hari ini, terutama melalui kes buli yang berleluasa di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan tempat kerja.

Hampir setiap hari media melaporkan insiden yang membuktikan pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin akhlak yang baik. Maka, prinsip lama, ‘Adab dulu, baru ilmu’ wajar diangkat kembali sebagai panduan hidup agar ilmu yang dimiliki benar-benar membentuk manusia berakhlak dan berperibadi luhur.

Adab bukan sekadar sopan santun tetapi mencakupi nilai hormat, tanggungjawab, rendah hati, kejujuran dan kebijaksanaan dalam berinteraksi.

Ulama silam seperti Imam Malik dan Imam al-Ghazali menegaskan adab mesti dipelajari sebelum ilmu. Ilmu ibarat api yang mampu menerangi, namun juga boleh membakar jika tidak dikawal oleh adab.

Kepintaran boleh disalahguna dalam apa jua bidang termasuk pendidikan, perubatan, undang-undang dan kepimpinan, jika mengabaikan panduan nilai.

Dalam Islam, adab dan ilmu saling melengkapi. Adab mendahului ilmu kerana ia menjadi pelita yang memandu manusia menggunakan ilmu dengan betul. Seorang yang beradab akan menuntut dan mengaplikasikan ilmunya dengan niat ikhlas kerana Allah SWT serta memberi manfaat kepada orang lain.

Fenomena buli yang semakin membimbangkan membuktikan kecerdikan tidak semestinya seiring dengan akhlak. Ramai pelaku buli ialah pelajar pintar atau berpendidikan tinggi tetapi gagal menunjukkan adab.

Apabila ilmu mendahului adab, wujudlah sikap bongkak, tidak menghormati orang lain dan menyalahgunakan kuasa. Sekiranya nilai hormat dan empati ditanam sejak awal, anak-anak akan membesar dengan kesedaran kejayaan tidak boleh dicapai dengan menjatuhkan orang lain. Adab menjadi benteng yang mencegah lahirnya budaya menindas.

Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), ilmu dan adab ialah dua tunjang penting yang membentuk insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Adab menekankan akhlak mulia, nilai murni dan tanggungjawab sosial, manakala ilmu membangunkan potensi dan kemahiran. Kedua-duanya berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan bagi melahirkan insan berperadaban dan berintegriti.

Adab dalam pendidikan bukan sahaja menyentuh hubungan murid dan guru tetapi juga sikap terhadap masyarakat, keluarga dan alam sekitar. Ilmu pula perlu disampaikan dan diamalkan dengan nilai yang benar agar menjadi berkat dan berguna kepada semua.

Guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi cermin kepada akhlak dan budi. Cara guru bercakap, menegur dan mendidik menjadi contoh kepada murid. Guru berilmu tetapi tidak beradab tidak akan dihormati. Sebaliknya, guru yang sabar, berhemah dan penuh kasih sayang mampu membentuk pelajar yang bukan sahaja bijak tetapi berakhlak. Keikhlasan guru dalam mendidik akan menanamkan nilai keikhlasan dalam hati murid.

Adab bermula dari rumah. Ibu bapa ialah pendidik pertama yang mengajar anak menghormati orang tua, menjaga tutur kata dan bertanggungjawab. Di sekolah pula, pendidik perlu memastikan adab menjadi asas dalam setiap interaksi. Antara usaha yang boleh dilakukan termasuk menunjukkan teladan, mengintegrasikan adab dalam kurikulum, menanam nilai hormat dalam bilik darjah serta membina suasana kasih dan saling menghargai.

Prinsip ini juga relevan di tempat kerja dan kehidupan bermasyarakat. Doktor beradab melayani pesakit dengan empati, pemimpin beradab mendahulukan rakyat, manakala pekerja beradab menunaikan amanah dengan jujur dan disiplin.

Ilmu tanpa adab melahirkan individu angkuh manakala adab tanpa ilmu pula menjadikan seseorang naif. Kedua-duanya perlu seiring, namun adab mesti mendahului ilmu agar membawa manfaat dan keberkatan.

Untuk membina masyarakat yang berakhlak dan harmoni, pendidikan adab perlu diperkukuh sejak kecil. Anak-anak harus diajar kejayaan bukan sekadar memperoleh markah tinggi tetapi juga menzahirkan nilai hormat, kesabaran dan kejujuran.

Dengan adab, ilmu memberi manfaat sebaliknya tanpa adab, ilmu menjadi sia-sia dan boleh membawa mudarat. Dunia hari ini tidak kekurangan orang berilmu tetapi amat memerlukan lebih ramai insan beradab agar budaya buli dan penindasan tidak lagi berakar dalam masyarakat kita.-UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN