SEJAK sebulan selepas sambutan Hari Kebangsaan, saya sering terlihat sesuatu yang mengusik hati, Jalur Gemilang yang terbiar di tepi jalan, longkang dan juga di Lebuhraya Persekutuan.
Ada yang koyak, ada yang lusuh, ada pula yang separuh tenggelam dalam air. Dahulu, bendera-bendera ini dikibarkan dengan penuh semangat dari tingkap kereta serta gerai kecil, tanda kasih dan bangga terhadap tanah air. Kini, banyak daripadanya dibiarkan reput tanpa dipedulikan.
Bagi sesetengah orang, ia mungkin hal kecil. Namun bagi saya, ia menggambarkan sikap kita terhadap perkara yang kononnya dicintai. Kita meraikan dengan gah, kemudian melupakan apabila semangat perayaan berlalu.
Dalam kelalaian ini, tersirat kebimbangan yang lebih besar tentang arah tuju negara.
Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri tokoh dunia seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dua minggu selepas itu, dunia akan berhimpun pula di Belém, Brazil, bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30 ), untuk membincangkan hala tuju global dalam pembiayaan dan adaptasi iklim.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja membentangkan peruntukan sebanyak RM2.38 bilion kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di bawah Belanjawan 2026, termasuk untuk program mitigasi banjir, pemulihan sungai dan perlindungan alam sekitar.
Segala perancangan ini tampak meyakinkan di atas kertas. Namun apabila melihat Jalur Gemilang yang terbiar di tepi jalan, saya tertanya mungkinkah komitmen iklim kita juga akan berakhir seperti itu? Dihayati seketika, kemudian dilupakan.
Krisis iklim tidak menunggu sidang kemuncak atau kenyataan rasmi. Banjir, panas melampau dan jerebu sudah pun menjejaskan kehidupan rakyat. Namun, isu ini masih dianggap sampingan, bukan keutamaan yang menyentuh soal kelangsungan hidup.
Ketika kita membincangkan dasar, kisah lain yang lebih menyayat hati turut muncul. Kes empat pelajar tingkatan lima yang didakwa merogol pelajar tingkatan tiga di Melaka bukan sekadar tragedi tetapi cerminan kepada apa yang hilang dalam masyarakat kita termasuk empati, maruah dan tanggungjawab.
Bagaimana kita menjaga bumi ini ada kaitan dengan bagaimana menjaga satu sama lain. Kecuaian yang membiarkan sungai tersumbat dengan plastik adalah kecuaian yang sama yang membiarkan bilik darjah menjadi tidak selamat. Kedua- duanya lahir daripada budaya sama, iaitu mengabaikan perkara yang ‘tidak menjerit’ untuk diperhatikan.
Malaysia berhasrat menjadi peneraju diplomasi iklim serantau dan kita sememangnya berpotensi menuju ke arah itu. Namun sebelum memimpin dunia, kita mesti membetulkan langkah di tanah air sendiri.
Belanjawan yang dibentangkan mesti diterjemahkan kepada tindakan di lapangan, memperkukuh adaptasi komuniti, memastikan ketelusan perbelanjaan dan menggabungkan perlindungan sosial serta pendidikan dalam agenda iklim negara.
Jika patriotisme bermaksud mengibarkan bendera, maka tanggungjawab bermaksud memastikan ia terus berkibar dengan penuh makna, bukan sekadar hiasan.
Jalur Gemilang tidak sepatutnya dibiarkan di longkang. Begitu juga anak-anak kita. Begitu juga bumi ini.
Kita sering berbicara tentang kemajuan dan pembangunan tetapi hakikatnya, kita tidak boleh membina sebuah negara yang progresif dan disanjung jika mudah lupa tentang nilai, tanggungjawab dan makna sebenar cinta terhadap tanah air.-UTUSAN
MOGESH SABABATHY
Aktivis Belia Alam Sekitar










