GOLONGAN perokok mesti mematuhi tiga syarat utama yang boleh diringkaskan sebagai 3K iaitu kebersihan, keselesaan dan kos. Jika tiga syarat ini dipatuhi, besar kebarangkalian reputasi perokok dari segi adab dan peraturannya dinilai sebagai golongan yang bertanggungjawab dan boleh diterima di mata masyarakat umum.
Kebersihan perlu dijaga semasa dan selepas merokok. Puntung rokok dan abunya perlu dibuang ke dalam bekas yang betul. Jangan dibiarkan bersepah-sepah di atas lantai, longkang atau lubang tandas. Pastikan tangan dibersihkan secukupnya selepas merokok.
Jika boleh perokok perlu membersihkan diri dengan mandi atau sekurang-kurangnya menggosok gigi sebelum ke tempat awam seperti bank, pejabat kerajaan, sekolah dan masjid untuk mengelakkan daripada situasi tidak selesa orang sekeliling.
Merokoklah di tempat yang sesuai, bukan di kawasan larangan merokok atau mengikut sesuka hati. Kalau ditegur agar jangan merokok di situ, terimalah teguran itu dengan baik. Jangan mengamuk, memaki hamun dan bertindak ganas. Sedarlah teguran sebegini untuk kebaikan semua.
Akhir sekali, tentang kos. Belanja beban tabiat merokok ini perlu ditangggung orang merokok sepenuhnya atau sebahagian besarnya bukannya menebal muka meminta wang daripada anak bini, ibu bapa atau menyalahgunakan bantuan kerajaan dan zakat yang diterima.
Lagi satu yang penting ialah kos rawatan apabila mendapat penyakit akibat merokok. Perokok sepatutnya bijak menabung apatah lagi tabiat buruk ini mengundang risiko besar mendapat penyakit. Jika tiada simpanan untuk membayar kos rawatan, beban kewangan ini terpaksa dipindahkan ke ahli keluarga dan kerajaan. Padahal keluarga dan kerajaan memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk keperluan dan projek yang lebih bermanfaat.
Dengan mematuhi tiga syarat ini iaitu kebersihan, keselesaan dan kos, mudarat yang datang bersama-sama tabiat merokok dapat dikurangkan.
Kedai makan dan pengalaman menikmati makanan dan minuman menjadi lebih selesa dan tenang. Masjid dan aktiviti sembahyang dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih wangi dan khusyuk. Keluarga juga kurang cemas apabila ada antara ahlinya dimasukkan ke hospital kerana sudahpun memiliki tabungan untuk menanggung kos rawatan akibat kesan buruk merokok.
Beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan juga dapat dikurangkan dan diagihkan pula untuk perkara yang lebih menguntungkan rakyat.
Jika tiga syarat ini dipatuhi, mudarat amalan merokok pasti dapat dikurangkan. Reputasi perokok akan terjaga dan tidak tercalar. Golongan orang yang merokok dan tidak merokok boleh menjalani kehidupan yang lebih bersih, selesa dan harmoni.
Sebaliknya, jika perokok tidak menjaga adab dan etika merokok yang sewajarnya, mereka tidak lain hanya akan mendatangkan mudarat pada masyarakat sekeliling. Padahal memilih tindakan yang menjauhi kemudaratan dan yang membawa ke arah kebaikan adalah prinsip utama dalam menyusun keutamaan hidup bagi seseorang individu mahupun masyarakat keseluruhannya.
Hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain” (Riwayat Ibnu Majah) –UTUSAN
PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT
Kuala Lumpur










