ISU kelewatan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Seksyen 3 di Kampung Jawa, Klang yang kini berlarutan hampir dua tahun bukan sekadar kelewatan teknikal tetapi peringatan serius bahawa Malaysia semakin berisiko menggantikan kepastian undang-undang dengan politik sentimen.
WCE bukan sekadar sebuah lebuh raya, ia nadi utama ekonomi negara, menghubungkan kawasan perindustrian di sepanjang Pantai Barat dengan Pelabuhan Klang, pelabuhan tersibuk di Malaysia.
Seksyen 3, yang menghubungkan Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan, merupakan laluan kritikal bagi kelancaran logistik negara dengan lebih 10,000 lori kargo bergantung padanya setiap hari.
Namun, meskipun pampasan dibayar mengikut Akta Pengambilan Tanah, segelintir pemilik masih enggan melepaskan tanah menyebabkan keseluruhan projek tergendala, ibarat enjin besar terhenti hanya kerana sebutir pasir.
Kesan daripada tindakan kecil ini amat besar. Syarikat pengangkutan terpaksa menukar laluan, menggunakan lebih banyak bahan api, menanggung kos penyelenggaraan yang meningkat dan akhirnya beban itu berpindah kepada pengguna.
Lebih membimbangkan, kelemahan penguatkuasaan dan kegagalan menghormati undang-undang menghantar isyarat yang salah kepada pelabur, bahawa di Malaysia, keputusan mahkamah boleh dipersoal jika sentimen awam cukup lantang.
Inilah yang perlahan-lahan menghakis keyakinan pelabur dan mencalar reputasi negara sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.
Sudah tiba masanya kerajaan negeri, pihak berkuasa lebuh raya dan agensi persekutuan berhenti berselindung di sebalik alasan ‘menjaga kepentingan komuniti setempat’ dan mula menegakkan undang-undang dengan keberanian dan ketelusan sebenar.
Laksanakan pengambilalihan secara adil tetapi tegas, tanpa tunduk pada tekanan politik atau sentimen awam. Dedahkan semua perincian, daripada pampasan hingga jadual pembinaan, supaya rakyat tahu keadilan sedang ditegakkan, bukan disorok.
Kelewatan yang berpanjangan bukan sekadar menjejaskan pelabur tetapi mencalar nama baik negara. Dalam dunia pelaburan global yang menilai kecekapan dan kepastian undang-undang sebagai ukuran utama, Malaysia tidak boleh kelihatan lemah dan berisiko. Jika mahu kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, kita mesti buktikan undang-undang di Malaysia bukan alat politik sebaliknya mesti dilaksanakan, bukan dirunding.
Kita tidak boleh terus memanjakan budaya ‘main simpati’ dalam isu pembangunan. Setiap hari yang hilang akibat kompromi politik atau keputusan separuh hati adalah pengkhianatan terhadap kepentingan awam.
Keadilan bukan milik mereka yang paling bising tetapi untuk semua yang terkesan daripada pelabur hingga rakyat biasa.
Sementara undang-undang pula ditegakkan dengan prinsip moral dan keberanian politik. Malaysia tidak akan maju jika setiap keputusan perlu diluluskan terlebih dahulu oleh ‘mahkamah simpati’ awam.
WCE Seksyen 3 bukan sekadar isu tanah tetapi ujian terhadap maruah dan ketegasan sistem pentadbiran negara. Sama ada kita berani menegakkan undang-undang atau terus tunduk kepada tekanan minoriti akan menentukan bagaimana dunia menilai Malaysia.
Jika setiap projek masa hadapan ditangguh kerana takut kehilangan undi atau tajuk sensasi media, bukan sahaja menyebabkan pembangunan terhenti malah reputasi dan hala tuju negara turut terperangkap di persimpangan yang sama.-UTUSAN
PROFESOR SAID BANI
Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia) &
Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa, Persatuan Forum Komunikasi Dunia (WCFA) Davos









