Kesihatan gigi penting untuk baca al-Quran dengan betul

Kesihatan gigi penting untuk baca al-Quran dengan betul

KERAJAAN diharap dapat memberikan insentif pelepasan cukai bagi rawatan pergigian terpilih agar rakyat mampu membaca al-Quran dengan sebutan yang betul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM suatu kuliah tajwid al-Quran yang dihadiri, ustaz yang mengajar berpesan agar kita semua dapat menjaga kesihatan gigi dengan baik kerana ia merupakan alat penting untuk membaca al-Quran secara bertajwid.

Dengan mengambil kira kepentingan membaca al-Quran dan menjaga kesihatan gigi, dicadangkan agar diadakan siri kempen besar-besaran untuk mempromosi kedua-dua perkara ini secara serentak serta dilaksanakan secara lebih sistematik lagi bersepadu.

Sebelum ini kempen membaca al-Quran dan menjaga kesihatan gigi dilakukan secara berasingan sama ada oleh pihak kerajaan, badan agama, masjid, surau, sekolah dan pihak swasta.

Kempen dan pelaksanaan kedua-dua program ini seeloknya dilaksanakan pada skala lebih besar dengan liputan lebih luas dalam keadaan semua organisasi terlibat dapat bergerak selangkah seiring mencapai matlamat penting tersebut.

Alangkah baiknya tempat mengaji al-Quran seperti masjid, rumah mengaji dan pondok madrasah memberi rawatan pergigian secara berkala (dengan direkodkan rawatan di dalam buku) terhadap mereka yang datang mengaji secara tetap.

Pegawai perubatan gigi, pengajar serta pemimpin setempat boleh berganding bahu agar program ini berjalan dengan jayanya.

Pihak klinik swasta juga digalakkan turut serta dalam program kerjasama seumpama ini dengan dikenakan bayaran yang lebih murah sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) syarikat.

Kerajaan pula boleh memberikan insentif yang berpatutan kepada klinik dan syarikat swasta yang menyertai program ini.

Cadangan lain adalah kerajaan memberikan insentif pelepasan cukai kepada pembayar cukai dalam kategori perbelanjaan perubatan yang selama ini terhad pada penyakit serius, rawatan kesuburan, pemvaksinan dan ujian kesihatan tertentu sahaja. Kos rawatan pergigian di klinik swasta amat tinggi.

Contoh rawatan ialah pengskaleran, rawatan salur akar gigi, rawatan gusi, cabutan dan tampalan gigi, frenektomi lidah (pembuangan tisu untuk membebaskan pergerakan lidah), juga memasang implan, titian gigi (bridge), sarung gigi (crown), gigi palsu (denture) dan sebagainya. Sayang sekali ia tidak dimasukkan dalam kategori perbelanjaan perubatan yang layak untuk pelepasan cukai.

Diharapkan kerajaan dapat memberi insentif pelepasan cukai bagi rawatan pergigian terpilih demi usaha menaikkan lantai taraf hidup rakyat.

Pelepasan cukai ini akan membuktikan komitmen kerajaan dalam memberikan akses serta sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama dan mampan.

Semoga dengan pelepasan cukai ini, beban kos hidup yang dipikul rakyat sekurang-kurangnya dapat dikurangkan. Manfaatnya juga boleh diraih dalam jangka masa pendek dan panjang.

Gigi rakyat yang sihat serta kuat bukan sahaja membolehkan rakyat hidup aktif dan ceria tetapi juga membantu mereka membaca al-Quran dengan sebutan betul, secara bertartil mengikut kaedah tajwid serta aturan waqaf dan ibtida’ yang tepat.

Firman Allah tentang tuntutan membaca al-Quran secara bertajwid: “Bacalah al-Quran secara tartil” (Al-Muzzammil: Ayat 4)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×